Kemeriahan festival Aidilfitri sulung yang berlangsung di puncak tertinggi bukit di Putrajaya bakal mencipta kelainan apabila Gema Raya Putrajaya 2026 @ Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) diserikan dengan kemunculan istimewa barisan artis popular tanah air, sekali gus menjadikan acara itu antara festival Ramadan–Raya paling dinanti tahun ini.
Penganjur merangkap Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn. Bhd., Rayme Zainal berkata, kehadiran barisan artis bertaraf gred A itu dijangka menjadi tarikan utama kepada pengunjung untuk hadir membeli-belah sempena Ramadan dan Aidilfitri, selain menikmati pelbagai pengisian kerohanian serta seni budaya yang disediakan.

Menurutnya, pembabitan artis yang pernah memenangi pelbagai anugerah turut menjadi penanda aras kepada kelangsungan dan kejayaan penganjuran Gema Raya Putrajaya pada masa hadapan.
“Sebagai penganjur, kami mahu memberikan yang terbaik kepada semua pihak, khususnya para usahawan yang berniaga, dengan usaha menarik lebih ramai pengunjung ke PICC,” katanya.
Rayme menjelaskan, keunikan Gema Raya Putrajaya 2026 bukan hanya tertumpu kepada elemen hiburan, malah diperkukuhkan dengan pengenalan konsep iftar dan moreh di puncak bukit, sekali gus menawarkan pengalaman berbeza kepada pengunjung.

“Pengunjung bukan sekadar datang untuk membeli-belah atau menonton persembahan artis, sebaliknya berpeluang menikmati suasana berbuka puasa dan moreh secara santai di atas puncak bukit sambil menikmati panorama indah Putrajaya.
“Konsep ini memberi ruang kepada pengunjung untuk berehat, ‘healing’ serta meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan rakan-rakan,” katanya.
Menurut beliau, pemilihan PICC sebagai lokasi utama adalah kerana bangunan ikonik itu dilengkapi fasiliti bertaraf antarabangsa, ruang dalaman berhawa dingin yang luas serta kawasan luar yang sesuai untuk konsep santai dan aktiviti berbuka puasa.

Pada masa sama, festival berkenaan turut menjadi platform strategik buat artis mendekati peminat dalam suasana Ramadan dan Syawal yang lebih eksklusif.
Festival yang dijadualkan berlangsung selama 33 hari bermula 15 Februari hingga malam Aidilfitri itu akan menampilkan persembahan hujung minggu oleh Aina Abdul, Ernie Zakri, Khai Bahar, Amir Masdi dan Nabila Razali.
Menariknya, kesemua artis terbabit merupakan bekas finalis yang pernah berentap di pentas berprestij Anugerah Juara Lagu (AJL), sekali gus menambah nilai eksklusif kepada penganjuran Gema Raya Putrajaya 2026.

Turut memeriahkan festival ialah Bella Astillah, selain artis meningkat naik termasuk Didie Shazry, juara sulung program realiti nyanyian Raise The Star Malaysia, serta kumpulan Alpha yang ditubuhkan menerusi program Big Stage Alpha.
Gema Raya Putrajaya 2026 dianjurkan sepenuhnya oleh Raydiates Blue Sdn. Bhd. dengan kerjasama PULSE Group, serta sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Festival itu menggabungkan elemen keusahawanan, seni budaya, program kerohanian dan inisiatif kebajikan komuniti, dengan penyertaan hampir 300 vendor serta jangkaan kehadiran sehingga 800,000 pengunjung.
Mengulas lanjut, Rayme memaklumkan lebih 150 lot niaga daripada hampir 300 lot keseluruhan telah habis terjual sejak dibuka pada Disember lalu, manakala baki lot dijangka habis dalam tempoh terdekat.
Keadaan itu, katanya, secara tidak langsung menepis dakwaan bahawa bazar Aidilfitri tahun ini kurang meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Raydiates juga kini giat menjalinkan kerjasama dengan pelbagai kementerian, agensi kerajaan, syarikat swasta serta yayasan sebagai rakan strategik dan penaja program.
“Nama Raydiates yang ditubuhkan pada 2023 kini mula menempa kepercayaan apabila diberi peluang mengendalikan beberapa acara berskala besar melibatkan sektor kerajaan dan swasta,” katanya.
Sebagai rekod, Raydiates sebelum ini diberi kepercayaan mengendalikan Bazar Aidilfitri Anjung Syawal sempena Festival Ramadan Putrajaya 2025, yang berjaya menarik lebih satu juta pengunjung sepanjang 32 hari penganjuran.
Kejayaan itu turut memberi pulangan memberangsangkan kepada peniaga apabila beberapa lot gerai dilaporkan mencatatkan jualan sehingga RM100,000, sekali gus menjadikan Anjung Syawal antara destinasi utama persiapan Aidilfitri di negara ini.
Untuk maklumat lanjut mengenai pengisian acara, jadual persembahan artis, penyertaan vendor serta aktiviti menarik sepanjang penganjuran Gema Raya Putrajaya 2026, orang ramai boleh melayari laman web rasmi di www.klramadanfestival.com.my
.

