PELAKON Along Eyzendy menghembuskan nafas terakhir di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) Serdang pada pukul 12.16 tengah malam tadi.
Berita sedih itu disahkan oleh isterinya, Hamidah Mohd Yatim.
Along atau nama sebenar Mohd Ezendy Mohd. Aziz, 47, bertarung nyawa akibat pendarahan serius dalam perut selama tiga hari sebelum doktor mengesahkan organnya sudah tidak berfungsi lagi.
Ahli keluarga turut berada di sisi Allahyarham sebelum meninggal dunia dalam keadaan tenang.
Pada 5 Februari lalu, Along atau nama sebenarnya Mohd. Eyzendy Mohd. Aziz, 47, terpaksa ditidurkan di Unit Rawatan Terapi (ICU).
Sebelum itu arwah dimasukkan ke hospital selepas mengalami demam dan batuk berpanjangan sebelum disyaki terdapat jangkitan pada stent di saluran hempedu.
Untuk rekod, pada 15 April 2021, Along pernah menjalani pemindahan buah pinggang selepas menerima organ tersebut daripada isterinya.
Along yang berasal dari Ipoh, Perak memulakan karier seninya lebih sebagau peniup trumpet sebelum menceburi bidang lakonan pada 2003.
Antara filem lakonannya ialah Lagenda Budak Hostel, Khurafat: Perjanjian Syaitan, Lu Pikirlah Sendiri de Movie, Ustaz dan Mu Tunggu Aku Datang.
Jenazah akan dikafankan di hospital sebelum dibawa pulang untuk dikebumikan di Pasir Gudang, Johor.
Along meninggalkan seorang isteri dan tiga orang cahaya mata.

