GELOMBANG K-pop di Malaysia nampaknya tidak menunjukkan tanda-tanda akan surut bagi tahun ini. Terbaharu, peminat muzik pop Korea tanah air bakal dihidangkan dengan satu lagi acara mega, K-Sarang Super Concert 2026, yang menjanjikan sebuah malam penuh magis dan emosi.
Konsert spektakular yang dijadualkan berlangsung pada 11 April depan di The Arch Galeries, Kuala Lumpur itu bakal menampilkan barisan artis yang cukup disegani.
Tumpuan utama pastinya terarah kepada vokalis tersohor kumpulan Super Junior, Kyuhyun yang terkenal dengan kelunakan vokal baladanya, selain kemunculan kumpulan meningkat naik yang semakin mendapat tempat di hati peminat global, AHOF (Artist Hall of Fame).
Dianjurkan secara kolaborasi antara HIFIVE Entertainment dan K-WAVE, K-Sarang bukan sekadar sebuah konsert biasa, malahan ia direka sebagai satu manifestasi cinta peminat terhadap budaya pop Korea.
Penganjuran ini juga dilihat sebagai pembuka tirai kepada era baharu dalam pengalaman konsert secara langsung yang lebih berkualiti di Malaysia.
Menurut Pengarah Urusan HIFIVE Entertainment, Sean Pereira, pemilihan Kyuhyun dan AHOF adalah bagi memastikan penonton mendapat kepuasan daripada sudut kualiti vokal dan tenaga persembahan yang dinamik.
“Konsert ini sebenarnya adalah satu platform yang meraikan rasa kasih dan sayang terhadap muzik K-pop.
“Kami mahu membuktikan muzik mampu menyatukan semua orang tanpa mengira latar belakang.
“Matlamat utama kami adalah untuk memberikan peluang kepada peminat di Malaysia merasai pengalaman yang sangat dekat dan intim dengan artis pujaan mereka,” katanya.
Tambahnya, memori yang bakal tercipta pada malam itu nanti diharapkan dapat melangkaui sempadan bahasa dan budaya, sekali gus meninggalkan kesan mendalam dalam sanubari setiap penonton yang hadir.
Selain daripada barisan artis yang hebat, penganjur turut memberikan perhatian serius terhadap kepuasan penonton melalui tawaran tiket yang disertakan dengan pelbagai keistimewaan.
Bermula daripada harga RM388 sehingga RM888, setiap kategori tiket direka untuk memberikan nilai tambah kepada peminat.
Menariknya, semua pemegang tiket tanpa mengira kategori akan dihadiahkan dengan Kad Foto Bertandatangan Digital serta Poster Bertandatangan Digital.
Namun, bagi pemegang tiket kategori premium seperti VIP, mereka bakal menikmati pengalaman penuh termasuk sesi Sound Check, sesi Send Off, serta peluang memenangi 50 keping foto polaroid bertandatangan artis.
Kategori CAT 1 dan CAT 2 juga tidak ketinggalan apabila turut ditawarkan akses ke sesi Sound Check (mengikut kuota) dan sesi Send Off untuk semua pemegang tiket kategori tersebut.
Ini merupakan peluang keemasan bagi peminat untuk melihat artis kegemaran mereka dengan lebih dekat sebelum dan selepas konsert berakhir.
Bagi mereka yang tidak mahu ketinggalan menyaksikan kehebatan vokal Kyuhyun dan persembahan bertenaga AHOF, tiket boleh didapati secara eksklusif menerusi platform Ticket2U.
Dengan penganjuran yang serba rapi, K-Sarang Super Concert 2026 dijangka bakal menjadi antara acara hiburan paling diperkatakan bagi tahun ini.

