DUNIA hiburan tanah air dikejutkan dengan satu skandal penipuan berskala besar yang membabitkan seorang pelakon wanita popular bersama suaminya.
Tidak lagi sekadar khabar angin di media sosial, pasangan ini kini secara rasminya menjadi individu yang diburu pihak berkuasa selepas didakwa mendalangi sindiket penjualan tanah lot tidak wujud yang mencecah kerugian jutaan ringgit.
Kes itu bermula apabila seorang lelaki berusia 56 tahun tampil membuat laporan polis di Daerah Seremban pada 7 Januari lalu.
Mangsa mendakwa telah diperdaya dalam urusan jual beli tanah lot kurniaan di Selangor, namun setelah diselidik, hartanah tersebut hanyalah rekaan semata-mata atau ‘skema atas kertas’.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim, mengesahkan siasatan rapi sedang dijalankan terhadap pelakon wanita berkenaan dan pasangannya.
Menurut beliau, pasangan itu bukan sahaja diburu, malah pergerakan mereka kini diperhatikan rapat oleh pihak berkuasa di pintu sempadan negara.
“Penama yang sama bersama suami adalah suspek di dalam satu kes yang disiasat di Seremban berkenaan urusan penjualan tanah kurniaan negeri Selangor yang tidak wujud membabitkan kerugian RM1.5 juta,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Beliau turut mendedahkan bahawa pasangan suspek dipercayai telah meninggalkan Semenanjung Malaysia bagi mengelakkan diri daripada dikesan.
Bagaimanapun, pihak polis sudah mempunyai petunjuk konkrit mengenai keberadaan mereka.
“Maklumat yang diperoleh setakat ini mendapati kedua-dua suspek berada di Sarawak.
Mereka sudah didaftarkan sebagai orang dikehendaki dan senarai pemantauan khas (SPK) Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan kesan dan tangkap,” tegasnya lagi.
Sebelum pengesahan pihak polis ini tular, isu ini terlebih dahulu ‘meletup’ di aplikasi Threads menerusi pendedahan berani seorang usahawan produk kecantikan yang menggunakan akaun kakbeyna_official.
Usahawan tersebut mendakwa turut menjadi mangsa penipuan pelakon yang sama, namun dalam segmen perniagaan berbeza iaitu barangan kosmetik.
Dalam hantaran yang tular itu, mangsa mendakwa kerugian sebanyak RM300,000 dan mendedahkan bahawa pelakon yang sering menghiasi drama-drama TV itu kini sedang bersembunyi.
Pendedahan tersebut turut disertakan dengan tangkap layar MyKad suspek serta testimoni mangsa-mangsa lain yang mendakwa mengalami nasib serupa dengan kerugian yang jauh lebih besar.
Ekoran pendedahan identiti (MyKad) yang dibuat oleh mangsa di media sosial, rata-rata netizen mula memetik beberapa nama pelakon wanita yang sudah lama menyepi daripada industri seni.
Kehilangan suspek dari radar dunia hiburan sejak kebelakangan ini seolah-olah menguatkan lagi spekulasi mengenai pembabitan mereka dalam aktiviti jenayah ini.
Kes itu kini menjadi perhatian utama kerana ia melibatkan reputasi penggiat seni dan jumlah kerugian yang sangat drastik.
Orang ramai dinasihatkan agar lebih berwaspada dengan tawaran penjualan tanah lot kurniaan yang meragukan, walaupun individu yang mempromosikannya mempunyai profil sebagai selebriti terkenal.
SUMBER: HARIAN METRO

