TAHUN 2026 bakal bermula dengan penuh gemilang buat para peminat K-pop apabila bintang Korea-Amerika, Jessica Jung, kembali ke Malaysia sebagai destinasi pertama jelajah konsert terbaharunya, Jessica Concert Tour 2026 <Reflections> in Malaysia.
Konsert istimewa itu dijadualkan berlangsung pada 11 Januari 2026 (Ahad), jam 7 malam di Arena of Stars, Resorts World Gentng, menjanjikan persembahan memukau dan penuh emosi khas buat peminat setia yang digelar Golden Stars.
Menurut penganjur, konsert itu bakal membawa penonton menyelusuri perjalanan karier seni Jessica dari awal kemunculannya hingga kini, dengan konsep persembahan yang menggabungkan elemen visual, vokal lembut dan koreografi bertenaga sekaligus mencipta pengalaman audio visual yang benar-benar immersif.

Bagi peminat tegar, nama Jessica tidak asing lagi. Sejak debut bersama kumpulan popular Girls’ Generation (SNSD) pada tahun 2007, beliau terus melebarkan sayap sebagai penyanyi, penulis lagu, pelakon, pengarah kreatif dan usahawan fesyen.
Sebagai artis solo, Jessica tampil dengan beberapa EP popular seperti With Love, J dan Wonderland (2016), diikuti My Decade (2017) serta Beep Beep (2023). Antara lagu yang sering menjadi siulan termasuk Fly (feat. Fabolous), Get It? Got It? Good (feat. Amber Liu), Big Mini World, Summer Storm dan Falling Crazy In Love.
Selain dunia muzik, Jessica juga menyerlah di pentas lakonan dan televisyen, antaranya muncul dalam program realiti China “Sisters Who Make Waves 3” (tempat kedua) dan “The Treasured Voice” Musim 4.
Dia turut mengukir nama dalam dunia fesyen dengan jenama ciptaannya Blanc & Eclare, serta menulis novel Shine dan sambungannya Bright.
Dalam bidang lakonan, Jessica pernah membintangi pementasan muzikal Legally Blonde di Korea serta filem I Love That Crazy Little Thing dan My Other Home di China.
Tiket konsert Jessica Concert Tour 2026 <Reflections> in Malaysia akan mula dijual pada 20 November 2025 (Khamis), jam 3 petang di laman web www.fantopia.io dan rwgenting.com.
Harga tiket ditetapkan pada:
? RM988 (VIP)
? RM788 (PS1)
? RM588 (PS2)
? RM488 (PS3)
✨ RM288 (PS4)
(Semua harga tertakluk kepada caj pemprosesan RM4).
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti @ht.entertainmentcompany di Instagram.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

