TIGA pemain daripada kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dan seorang lagi pemain Kuching City FC tidak dibenarkan beraksi dalam saingan Liga Malaysia selama 12 bulan.
Ia susulan keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang mengekalkan penggantungan 12 bulan terhadap tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Malaysian Football League (MFL) dalam kenyataan memaklumkan, tiga pemain JDT itu ialah Joao Figueiredo; Jon Irazabal dan Hector Hevel manakala pemain Kuching City FC itu adalah Gabriel Palmero.
Menurut MFL, pihaknya telah menerima pemakluman rasmi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung keputusan itu.
“Pemakluman itu menyatakan tujuh pemain berkenaan tetap dikenakan penggantungan selama 12 bulan namun hanya terpakai untuk perlawanan rasmi dan bukan semua aktiviti berkaitan bola sepak.
“Dengan keputusan ini, tiga pemain daripada kelab JDT yang terlibat iaitu Joao Figueiredo; Jon Irazabal; Hector Hevel dan seorang pemain Kuching City FC, Gabriel Palmero tidak dibenarkan beraksi dalam Liga Malaysia sepanjang tempoh penggantungan tersebut,” katanya dalam kenyataan itu.
Kelmarin, empat pemain berkenaan antara tujuh pemain warisan negara yang tetap dikenakan penggantungan 12 bulan seperti diputuskan CAS.
Namun, penggantungan itu hanya terpakai untuk perlawanan rasmi dan bukan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.
CAS dalam satu kenyataan mengesahkan rayuan yang dikemukakan secara bersama oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pula ditolak, dan keputusan FIFA untuk mengenakan denda CHF 350,000 kepada FAM kekal berkuat kuasa.
Selain empat pemain itu, tiga lagi pemain warisan negara ialah Facundo Garces; Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

