MYJalan bukan sekadar aplikasi ‘tampal lubang’ di jalan raya

Dari Penulis

APABILA disebut MYJalan yang menjadi inisiatif di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR), perkara pertama terlintas di fikiran adalah mengenai aplikasi aduan untuk jalan rosak.

Benar, sasarannya untuk memudahkan pengguna membuat aduan berkaitan kerosakan jalan. Namun sebenarnya MYJalan bukan sekadar aduan jalan rosak atau jalan raya bermasalah, sebaliknya skopnya jauh lebih luas.

Secara umum, ada 10 kategori aduan keseluruhan dalam aplikasi ini, dua daripadanya berkaitan jalan rosak dan jalan berlubang. Selebihnya aduan juga boleh dibuat di bawah kategori isu lampu isyarat, lampu jalan, garisan jalan, tanah runtuh, halangan di laluan, papan tanda, perabot jalan serta kemudahan awam yang berkaitan dengan keselamatan pengguna.

Maksudnya, MYJalan bukan sekadar ‘aplikasi tampal lubang’ di jalan raya. Ia satu ekosistem aduan rakyat terhadap infrastruktur jalan raya.

Kempen MYJalan lahir daripada satu realiti mudah iaitu rakyat hari ini bukan lagi sekadar memerhati, tetapi pemerhati yang mahu bertindak.

Kempen dicetuskan hasil inisiatif Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, mengajak pengguna jalan raya lebih peka terhadap persekitaran mereka. Di sebalik satu aplikasi, ia cuba membina kesalinghubungan antara masyarakat dan kerajaan, supaya isu jalan raya ditangani bersama, berhemah dan bertanggungjawab.

Sejak dilancarkan Ogos 2023 hingga Januari lalu, sejumlah 54,055 aduan kerosakan jalan diterima melalui aplikasi MYJalan. Daripada jumlah itu 16,671 aduan (30.8 peratus) membabitkan Jalan Persekutuan, lebuh raya dan jalan negeri di bawah seliaan KKR. Selebihnya membabitkan jalan di bawah kementerian lain, agensi lain atau kerajaan negeri.

Di bawah KKR sendiri, sejumlah 15,160 aduan diselesaikan, manakala 1,511 masih dalam siasatan. Dengan angka ini membawa dua mesej penting – pertama, rakyat semakin berani dan cakna untuk melaporkan, manakala kedua tidak semua jalan rosak itu berada di bawah bidang kuasa KKR.

Namun, data ini menunjukkan satu realiti bahawa lebih 65 peratus aduan diterima melalui MYJalan bukan membabitkan laluan di bawah bidang kuasa KKR. Jadi siapa bertanggungjawab?

Secara mudahnya Jalan Persekutuan adalah di bawah seliaan KKR, manakala jalan negeri di bawah kerajaan negeri. Jalan taman perumahan dan bandar pula lazimnya di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).

Di sinilah konsep ‘no wrong door policy’ hadir. Maksudnya apabila maklumat aduan diterima bagi jalan yang bukan di bawah seliaan KKR, akan disalurkan terus kepada agensi atau pihak bertanggungjawab.

Libatkan pelbagai lapisan pentadbiran

Terkini, aplikasi MYJalan diintegrasi dengan PBT Care, membolehkan aduan membabitkan jalan bandaran terus sampai ke PBT bertanggungjawab dengan lebih pantas dan cekap.

Cuma satu rasional perlu difahami bahawa struktur pengurusan jalan raya di negara ini bukan satu entiti tunggal. Ia membabitkan pelbagai lapisan pentadbiran, iaitu Persekutuan, negeri dan juga PBT.

Kesedaran ini penting untuk mengelak budaya salahkan satu pihak sahaja, selain membuka ruang kepada perbincangan lebih matang mengenai tadbir urus infrastruktur. Apabila rakyat memahami perbezaan peranan dan tanggungjawab, tekanan awam lebih tersasar dan berfokus. Aduan bukan sekadar viral di media sosial, tetapi sampai kepada pihak yang tepat.

Dalam erti kata lain, MYJalan hadir untuk membantu menyusun aduan secara sistematik, mengurangkan jurang komunikasi antara rakyat dan kerajaan, mempercepat saluran maklumat kepada agensi berkaitan, serta membentuk budaya pelaporan berhemah dan berfakta.

Namun di sebalik dasar ‘no wrong door policy’, timbul persoalan sama ada perlukah badan kawal selia berpusat diwujudkan untuk memantau pelaksanaan kerja pemulihan jalan rosak secara lebih menyeluruh?

Bukan bermaksud mengambil alih kuasa negeri atau PBT, tetapi lebih kepada mekanisme pemantauan standard mutu kerja, tempoh respons dan keberkesanan pembaikan.

Dalam isu jalan raya, yang penting bukan siapa memiliki jalan itu, tetapi sejauh mana keselamatan pengguna dijamin.

Sebuah badan pemantau berpusat boleh menetapkan piawaian masa tindak balas, menyemak kualiti kerja pembaikan, mengumpul data nasional kerosakan jalan dan mengelak pertindihan atau kelewatan tindakan.

Ia bukan soal birokrasi tambahan, tetapi soal akauntabiliti yang lebih jelas.

Perlu diingat, jalan raya infrastruktur paling dekat dengan rakyat. Setiap hari kita melaluinya untuk ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah atau pulang ke kampung. Apabila jalan rosak, ia bukan sekadar isu fizikal, tetapi isu kepercayaan.

Kempen MYJalan bukan sekadar tentang lubang di atas jalan. Ia tentang menutup lubang komunikasi antara rakyat dan kerajaan.

Siapa tahu mungkin dalam jangka panjang, ia boleh menjadi asas kepada sistem pengurusan jalan raya yang lebih telus, responsif dan berakauntabiliti.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Saluran RTM akan terus bersiaran di platform Astro

RAKYAT Malaysia akan terus dapat menikmati saluran televisyen utama Radio Televisyen Malaysia (RTM) iaitu TV1, TV2 dan TV Okey...

More Articles Like This