KEJADIAN sebuah kenderaan terbabas sebelum jatuh ke dalam gaung di Batu 13, jalan lama Genting Sempah menghala ke Gombak, malam tadi telah mengakibatkan seorang lelaki maut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, mangsa dikenali sebagai Mohamad Ashiq Fazal Ahmad, 56, dilaporkan cedera parah selepas tercampak keluar dari kenderaan.
“Jentera dan sebuah ambulans JBPM dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat pada 10.46 malam.
“Kereta dipandu mangsa telah terbabas di laluan jalan lama Genting Sempah menghala ke Gombak, sebelum terjatuh ke gaung setinggi 80 meter.
“Pihak bomba kemudian menjalankan kerja-kerja penyelamatan dengan berusaha membawa naik mangsa dari dalam gaung,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Ahmad Mukhlis menjelaskan, ketika ditemui, mangsa masih hidup namun cedera parah dan diberikan rawatan segera oleh anggota bomba.
Katanya, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian pada 1.15 pagi oleh pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Siasatan kes berkenaan kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

