CADANGAN membawa kembali ahli yang pernah dibuang dan digantung daripada UMNO menerusi agenda ‘Rumah Bangsa’ dilihat sebagai langkah penting ke arah memperkukuh semula perpaduan parti berkenaan.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Segamat, Datuk Bastien Onn berkata, pengumuman mengenai ‘Rumah Bangsa’ dengan mengajak belas ahli UMNO kembali semula ke dalam parti tanpa syarat merupakan satu langkah positif dalam usaha menyatukan semula keluarga besar parti itu.
Menurut beliau, usaha diselaraskan oleh Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang bertanggungjawab menguruskan proses penyatuan berkenaan mengikut tatacara yang diperuntukkan dalam perlembagaan parti.
Katanya, cadangan tersebut merupakan pengumuman pertama daripada jawatankuasa berkenaan dan dilihat sebagai langkah sulung yang terbaik sebelum parti menerima kehadiran pihak lain dalam konsep ‘Rumah Bangsa’ yang sedang diusahakan.
“Nama-nama seperti Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan bukan sahaja mempunyai pengaruh, malah turut mewajahkan UMNO dengan imej yang lebih progresif,” katanya selepas menyampaikan bantuan Syawal kepada 250 penerima asnaf di Parlimen Segamat, hari ini.
Terdahulu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyambut baik mereka dari Johor yang telah membuat kenyataan untuk kembali kepada UMNO, namun keputusan muktamad akan dibuat di peringkat Majlis Tertinggi parti itu melalui Rumah Bangsa.
Dalam pada itu, Bastien turut menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan parti atas usaha berkenaan.
“Cadangan yang dikemukakan Mohamed Khaled kepada pucuk pimpinan untuk membawa kembali mereka yang dibuang dan digantung memberi seribu makna kepada pengertian Rumah Bangsa. Terima kasih Presiden,” katanya.
Sementara itu, Ketua MCA Bahagian Segamat, See Ann Giap berkata, kesediaan Menteri Besar Johor untuk mengetuai jentera BN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Johor disifatkan amat bertepatan dalam menarik sokongan rakyat.
Ini kerana, katanya, beliau berjaya mengukuhkan kedudukan ekonomi Johor dengan menarik banyak pelaburan luar ke negeri ini di samping menjaga kebajikan rakyat.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

