UMNO bersedia menerima sesiapa sahaja individu menyertai parti tersebut tanpa syarat termasuk pemimpin atau ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipecat atau digantung.
Jaminan itu dinyatakan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Asyraf Wajdi, UMNO telah menerima penyertaan kira-kira 17,000 ahli baharu yang mendaftar menyertai parti itu.
Beliau berkata, angka tersebut diperoleh sejak pendaftaran secara dalam talian dilancarkan dua minggu lalu.
Sehubungan itu, Asyraf Wajdi berkata, UMNO sedia menerima semula pimpinan Bersatu apatah lagi ramai dalam kalangan tokoh itu merupakan bekas ahli UMNO.
“Kembalilah ke Rumah Bangsa! UMNO sedia menerima sesiapa sahaja tanpa syarat termasuk pimpinan dan ahli Bersatu yang dipecat atau digantung.
“Lagi pun semuanya berasal dari rahim UMNO juga, bagaikan sirih pulang ke gagang.
“Mana yang masih belum mendaftar boleh daftar (secara dalam talian) dengan mudah dan sepantas tak sampai tiga minit,” katanya dalam hantaran tersebut.
Semalam, Bersatu menerusi Lembaga Disiplinnya memecat dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), selain menggantung keahlian tujuh wakil rakyat selama dua penggal pemilihan berkuat kuasa serta-merta.
Mereka yang dipecat adalah ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis dan ADUN Sungai Menanti, Dzowahir Ab Ghani.
Tujuh wakil rakyat yang digantung pula adalah Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Datuk Khalib Abdullah (Rompin), Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Datuk Rosli Wahid (Hulu Terengganu) dan Datuk Khlir Mohd Nor (Ketereh).
Dua lagi nama adalah ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain serta ADUN Kuala Sepetang, Ahmad Man.
Pada masa sama, Ketua Bersatu Bahagian Hulu Langat, Muhammad Faiz Rahmad turut dipecat berkuat kuasa semalam.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

