PERUBAHAN landskap global yang dipengaruhi ketidaktentuan geopolitik serta ketidakstabilan bekalan dan harga bahan api menyerlahkan penerokaan potensi tenaga nuklear.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penerokaan potensi tenaga nuklear untuk penjanaan tenaga elektrik adalah satu langkah strategik bagi memastikan keterjaminan tenaga jangka panjang.
Selain itu, kata beliau, ia juga menyokong aspirasi peralihan tenaga bersih negara seperti yang turut digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 31 Julai 2025.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menegaskan, ketegangan di Asia Barat termasuk gangguan terhadap laluan perdagangan tenaga strategik seperti Selat Hormuz telah memberikan kesan negatif kepada pasaran dan perbekalan tenaga global.
Tenaga nuklear bantu kurangkan kebergantungan bahan api fosil
Dalam konteks itu, beliau berkata, tenaga nuklear dilihat berupaya menyediakan penjanaan beban asas yang stabil dan rendah karbon sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.
“Beberapa negara ASEAN turut menilai semula peranan tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada strategi kepelbagaian sumber tenaga.
“Filipina menyasarkan pembangunan tenaga nuklear berkapasiti sehingga 4,800 megawatt (Mw) menjelang 2050 manakala Vietnam telah memasukan semula tenaga nuklear dalam pelan pembangunan tenaga negara.
“Indonesia juga sedang meneroka potensi pembangunan reaktor modular kecil (SMR) termasuk reaktor terapung sebagai penyelesaian tenaga bersih yang fleksibel untuk negara kepulauan dengan sasaran menjelang 2030,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel lain: PETRA bersedia hadapi risiko banjir – Fadillah
MyPOWER Corp dilantik pelaksana program tenaga nuklear
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, MyPOWER Corporation selaku agensi di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah dilantik sebagai Organisasi Pelaksana Program Tenaga Nuklear (NEPIO).
Katanya, organisasi itu meneraju dan menyelaras usaha persediaan pembangunan program tenaga nuklear negara berpandukan pendekatan berfasa oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Pada masa ini, kata beliau, MyPOWER sedang melaksanakan penilaian menyeluruh merangkumi pembangunan dasar, pengukuhan rangka kerja perundangan dan kawal selia, penilaian pembangunan projek dan penyertaan industri tempatan.
Di samping itu, Fadillah berkata, MyPOWER turut memperkukuh penglibatan pihak berkepentingan serta pembangunan modal insan.
“Keutamaan kerajaan pada masa ini adalah memastikan sebarang pertimbangan berkaitan pembangunan tenaga nuklear pada masa hadapan dilaksanakan secara teliti, berasaskan analisis teknikal yang komprehensif serta selaras dengan keutamaan pembangunan negara dan obligasi antarabangsa Malaysia.
“Pendekatan ini juga sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan perancangan jangka panjang negara berasaskan ilmu, kemampanan sumber serta kesejahteraan rakyat dan generasi masa hadapan,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

