INDAH Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd sentiasa bersiap siaga sepanjang masa termasuk ketika musim perayaan bagi memastikan semua aset pembetungan awam beroperasi dengan cekap.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan, Indah Water terus melaksanakan pemantauan berterusan, penyelenggaraan berkala, pemeriksaan tapak dan tindakan pembaikan segera sekiranya berlaku kerosakan.
Menurut Fadillah, ia bagi memastikan aset pembetungan berada pada tahap optimum.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, pasukan operasi IWK juga sentiasa bersedia dengan sebarang aduan di lapangan dan bersedia dengan peralatan khas seperti sistem amaran awal.
“Tenaga kerja sokongan juga dipertingkatkan bagi menangani sebarang insiden termasuk sumbatan atau sekatan paip, kerosakan pam, limpahan atau isu bau.
“Langkah proaktif ini merupakan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam mengekalkan kualiti perkhidmatan pembetungan, mencegah kacau ganggu kepada keselesaan rakyat terutama sepanjang tempoh perayaan selaras dengan usaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi memastikan kesejahteraan masyarakat dan alam sekitar sentiasa diutamakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebagai rekod, IWK ketika ini menyelenggara kira-kira 7,767 loji rawatan kumbahan awam dan 1,564 stesen pam kumbahan di bawah kelolaannya serta 23,550 kilometer panjang paip pembetungan bawah tanah yang memberi perkhidmatan kepada 32 juta penduduk setara di Semenanjung.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, Indah Water turut meneruskan program rebat khas kepada pelanggan yang tergolong dalam eKasih.
Katanya, sehingga Disember lalu, IWK telah membelanjakan lebih RM1.1 juta untuk menampung rebat bil pembetungan kepada pelanggan berdaftar dengan eKasih sekali gus mencerminkan keprihatinan terhadap golongan memerlukan.
Selaras dengan konsep Malaysia MADANI, beliau berkata, IWK juga terus memperkukuh program tanggungjawab sosial korporat yang memberi manfaat langsung kepada komuniti melalui program Sahabat Sekolah IWK dan Sahabat Istimewa IWK.
“Program Sahabat Sekolah IWK merupakan program yang menyantuni pelajar sekolah dalam usaha untuk menyemai kesedaran akan kepentingan sistem pembetungan negara demi kelestarian alam sekitar.
“Tahun lepas, seramai 21,000 pelajar sekolah yang telah mendapat manfaat daripada program ini.
“Bagi Program Sahabat Istimewa IWK pula, program ini memberi fokus kepada pemerkasaan komuniti kelainan upaya (OKU) melalui pendekatan inklusif, memperkasakan keupayaan dan keyakinan diri serta membuka peluang golongan berkaitan terlibat aktif dalam masyarakat.
“PETRA sentiasa percaya perkhidmatan utiliti yang baik harus dipadankan dengan komitmen sosial berterusan kerana melalui inisiatif-inisiatif ini, usaha pembangunan masyarakat setempat dapat terus diperkasakan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

