Tiga ditahan ketika sedang rancak sabung ayam di Penampang

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

TIGA individu ditahan ketika sedang rancak menjalankan aktiviti perjudian sabung ayam di sebuah rumah kampung tanpa nombor di Kampung Buit Hills, Penampang, semalam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton memaklumkan, pihaknya telah menjalankan serbuan ke lokasi tersebut kira-kira pukul 3 petang berdasarkan maklumat yang telah diterima.

Menurut beliau, rumah kampung berkenaan disyaki digunakan sebagai tempat menjalankan aktiviti perjudian sabung ayam.

“Semasa serbuan dijalankan, beberapa individu yang berada di lokasi bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak polis.

“Hasil tindakan pantas pasukan serbuan, seramai tiga lelaki warga tempatan berusia antara 24 hingga 40 tahun berjaya ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Sammy memberitahu, pihaknya turut merampas lapan ekor ayam hidup dan satu gelung getah yang dipercayai digunakan sebagai gelanggang sabung ayam.

Selain itu, kata beliau, beberapa peralatan berkaitan serta wang tunai berjumlah RM606 yang disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti perjudian turut dirampas.

Jelasnya, kesemua tangkapan dan barang rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk siasatan lanjut.

“Hasil semakan mendapati kesemua tangkapan tidak mempunyai rekod sabitan jenayah lampau manakala ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas mereka didapati negatif.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 kerana disyaki melibatkan perbuatan penganiayaan haiwan melalui aktiviti sabung ayam,” jelas beliau.

Sekiranya disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Kes buli: ‘Jika terbukti salah, mereka hendaklah disingkirkan daripada MRSM’

PENGERUSI Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengarahkan tindakan tegas diambil terhadap enam pelajar Tingkatan Lima...

More Articles Like This