TIMBALAN Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini atas pertuduhan menerima suapan sebanyak RM,9110 daripada sebuah syarikat pengurusan sisa berjadual, empat tahun lepas.
Bagaimanapun tertuduh, Dr Norhazni Mat Sari, 59, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa selaku penjawat awam, Timbalan Ketua Pengarah JAS menerima satu benda yang berharga tanpa balasan iaitu bayaran membaik pulih kediaman rumahnya di Putra Heights, Subang Jaya berjumlah RM9,110.
Wang itu didakwa dimasukkan secara pindahan atas talian daripada Pengarah E-Concern (Borneo) Sdn Bhd, Tan Siong Hee yang mempunyai perhubungan kerja-kerja rasmi dengan tertuduh ke akaun Public Bank milik Kah Yong Contruction & Engineering Sdn Bhd.
Baca: Pemandu tular lawan arus di Jalan Klang Lama telah serah diri, dakwa tersalah jalan
Kesalahan itu didakwa di lakukan di Public Bank Berhad Cawangan Klang di Jalan Dato Yusof Shahbudin, Taman Sentosa, Klang pada 25 Mei 2022.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menggunapakai jaminan yang telah ditetapkan bagi pertuduhan yang dihadapi tertuduh di Mahkamah Kuala Lumpur, sebelum ini.
Hakim Mohd Nasir turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar kes ini dipindahkan dan dibicarakan secara bersama dengan kes di Mahkamah Kuala Lumpur.
Sementara itu, sebutan kes ditetapkan pada 19 Mei depan.
Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin manakala tertuduh diwakili Peguam Haresh Mahadevan.
Sebelum ini, Dr. Norhazni telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan menerima RM21,000 daripada sebuah syarikat pengurusan sisa berjadual, empat tahun lalu.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan.

