PEMANDU kereta jenis Proton Saga yang tular memandu melawan arus di Jalang Klang Lama, semalam telah tampil menyerah diri sebelum ditahan polis, malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa memaklumkan, suspek telah hadir ke pejabat JSPT Kuala Lumpur pada pukul 8.35 malam sebelum ditahan.
Sebelum itu, Mohd Zamzuri berkata, pihaknya telah pergi ke beberapa alamat kediaman yang diperolehi namun gagal mengesan suspek.
“Ujian saringan pernafasan (EBA) dan air kencing telah dijalankan ke atas suspek serta keputusan mendapati negatif bagi kedua-dua ujian.
“Hasil siasatan awal mendapati sebab utama tindakan suspek memandu melawan arus adalah kerana tersalah jalan untuk menghala ke Mid Valley,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zamzuri berkata kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Suspek akan dituduh di Mahkamah Jalan Duta pada jam 9.00 pagi ini,” katanya.
Semalam, media melaporkan satu rakaman video tular memaparkan sebuah kenderaan dipandu secara melawan arus di Jalan Klang Lama.
Polis menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 11.38 pagi sebelum bertindak mengesan pemandu dan kenderaan terbabit.
Semakan polis mendapati kejadian itu berlaku kira-kira jam 9.44 pagi bermula dari persimpangan Jalan Klang Lama dan Jalan Sepadu hingga ke persimpangan Jalan Klang Lama dan Jalan Kuchai Lama dengan jarak sekitar 500 meter.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

