KP Jabatan Ukur dan Pemetaan didakwa guna kedudukan untuk suapan RM136,115 

Dari Penulis

KETUA Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi suapan berjumlah RM136,115.

Bagaimanapun tertuduh, Datuk Hazri Hassan, 57,  mengaku tidak bersalah dan meminta agar dibicarakan sejurus  kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan pertama, Hazri didakwa menggunakan kedudukan sebagai Pengerusi Lembaga Juruukur Tanah Malaysia (LJT) untuk suapan iaitu dana LJT berjumlah RM30,201 untuk dirinya.

Kesahan itu didakwa dilakukan ketika beliau memegang jawatan Ketua Pengarah Jupem dan Pengerusi LJT dengan mengambil bahagian dalam Mesyuarat LJT pada 3 Ogos 2024 di Bilik Mesyuarat Lembaga, Aras 7, Wisma LJT, Lorong Perak, Pusat Bandar Melawati di sini.

Baca: Tiga individu ditahan disyaki terlibat penyelewengan dana zakat RM230 juta

Mesyuarat ketika itu membincangkan penyertaan tertuduh dalam Sesi ke-14 Jawatankuasa Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pengurusan Maklumat Geospatial Global (UN-GGIM)’ di New York, Amerika Syarika pada 4 hingga 9 Ogos 2024.

Sementara itu bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama iaitu menggunakan kedudukan selaku Pengerusi LJT untuk uapan iaitu dana LJT berjumlah RM105,914 untuk dirinya.

Hazri didakwa melakukan kesalahan itu dengan mengambil bahagian dalam Mesyuarat LJT pada 31 Disember 2024, di sebuah hotel di ibhu negara yang ketika itu membincangkan penyertaan tertuduh dalam satu mesyuarat bersama Profesor Dr. Shaikh Mohamed Zaffar Sadiq Mohamed Ghouse yang merupakan Naib Presiden dan Pengarah Penasihat dan Inovasi Woolpert.

Menurut pertuduhan, kedua-duanya terlibat dalam Mesyuarat Plenary ke-5 Kumpulan Peringkat Tinggi Rangka Kerja Maklumat Geospatial Bersepadu dan Mesyuarat Biro dan Biro Perluasan Jawatankuasa Pakar di Madinah dan Jeddah, Arab Saudi pada 29 Januari hingga 4 Februari 2025.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.


Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib memaklumkan, kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju untuk jaminan diberikan sebanyak RM70,000.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Amin Othman bersama-sama Amirah Batrisyia Adam Khan bagaimanapun memohon jaminan dijelaskan sebanyak dua kali iaitu RM50,000 pada hari ini dan RM20,000 pada Jumaat ini.

Pihak pendakwaan kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya tidak membantah permohonan pihak pembelaan itu.

Hakim Suzana kemudian membenarkan jaminan ke atas tertuduh sebanyak RM70,000 yang mana perlu dijelaskan sebanyak dua kali masing-masing pada hari ini dan jumaat, sepertimana yang dipohon oleh kedua-dua pihak. 

Selain itu, Suzana turut mengarahkan agar tertuduh menyerahkan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga perbicaraan kes selesai. 

Mahkamah kemudian menetapkan 4 jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Dua anggota MALBATT cedera akibat serangan udara di Lubnan

DUA anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 cedera ringan selepas konvoi logistik yang mereka sertai terkena kesan sampingan daripada satu...

More Articles Like This