PELAN gencatan senjata antara Amerika Syarikat (AS) dengan Iran yang telah dipersetujui, malam tadi memberi petanda baik untuk pemulihan keamanan dan kestabilan bukan sahaja kepada rantau Asia Barat tetapi juga seluruh dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berharap proses rundingan itu akan dijalankan dengan niat baik dan tekad yang teguh untuk mencari penyelesaian yang berkekalan.
Sambil mengalu-alukan perkembangan terkini berkenaan, Perdana Menteri menegaskan, rundingan damai itu tidak akan berjaya sekiranya ia diselubungi penipuan dan kepentingan tersembunyi.
“Pelan 10 perkara ini penting untuk diterjemahkan ke dalam perjanjian damai yang komprehensif, bukan sahaja untuk Iran tetapi merangkumi Iraq, Lubnan dan Yaman.
“Pada masa sama, menjadi tanggungjawab pihak-pihak yang berkenaan untuk memastikan berakhirnya pembunuhan beramai-ramai dan perampasan tanah rakyat Palestin terutama di Gaza,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Penghargaan kepada Pakistan
Dalam pada itu, Anwar turut mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Pakistan dan Perdana Menterinya, Shehbaz Sharif atas usaha diplomasi yang tidak pernah lelah dan berani membantu menjayakan pelan tersebut.
Beliau berkata, kesediaan Pakistan untuk bercakap dengan semua pihak tanpa rasa takut atau pilih kasih mencerminkan tradisi tertinggi solidariti muslim dan tanggungjawab antarabangsa.
“Malaysia bersedia untuk menyokong dan melengkapi semua usaha dalam hal ini.
“Kami juga menyeru masyarakat antarabangsa memastikan akses kemanusiaan tanpa halangan kepada semua penduduk awam yang terjejas akibat perang ini.
“Biarlah ini menjadi titik perubahan ke arah keamanan yang berkekalan,” katanya.
Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan penangguhan serangan ketenteraan terhadap Iran selama dua minggu.
Dalam satu kenyataan yang dimuatnaik Rumah Putih di platform X pagi tadi, beliau berkata gencatan senjata atau penangguhkan serangan itu tertakluk kepada persetujuan negara itu untuk membuka Selat Hormuz secara sepenuhnya, serta-merta dan selamat.
Beliau berkata, keputusan yang dicapai itu susulan perbincangan dengan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif termasuk Panglima Tentera negara itu, Asim Munir, yang memohon agar Tindakan ketenteraan ditangguhkan.
Jelasnya lagi, penangguhan itu akan menjadi gencatan senjata dua hala, sekali gus membuka ruang kepada rundingan lanjut antara AS dan Iran.
Menurut Trump, pihaknya turut menerima satu cadangan mengandungi 10 perkara daripada Iran yang beliau percaya boleh menjadi asas pelaksanaan rundingan antara kedua-dua negara.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

