“ITU fahaman kedangkalan ilmu yang ketara tetapi diselubungi oleh fahaman agama menyebabkan orang agak percaya.”
Demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas segelintir pihak termasuk individu berpengaruh yang mendakwa harga minyak hanya naik di Malaysia, bukan di peringkat global.
Ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan, Perdana Menteri menegaskan, dakwaan dikeluarkan beberapa pihak termasuk yang seorang ulama terkenal itu menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat.
“Ada beberapa komentar orang politik ini dia cepat, tapi apa yang dia sebut separuh kebenaran yang akhirnya dianggap sebagai kebenaran mutlak.
“Maksudnya, fahaman itu sedikit, kemudian dia nak mutlakkan pandangan itu sebagai sesuatu yang pasti.
“Kita ada hak menegur, memberi pandangan balas tetapi kita tak berhak menghukum berdasarkan fakta yang salah atas dasar kepalsuan.
“Ada ulama yang terkenal, yang mempunyai ramai pengikut memberi pandangan dengan mengatakan tidak betul, minyak tidak naik, di Malaysia sahaja naik,” katanya.
Sebelum ini, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa rakyat sekali lagi “ditipu” kerajaan susulan kenaikan harga minyak di Semenanjung, sambil mempersoalkan mengapa langkah sama tidak dilaksanakan di Sabah dan Sarawak.
Menerusi kenyataan Minda Presiden PAS semalam, Abdul Hadi menegaskan tiada alasan kukuh untuk menaikkan harga minyak kerana Malaysia bukan negara yang terlibat dengan sekatan Iran di Selat Hormuz.
Kenaikan minyak libat pelbagai faktor
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kenaikan harga minyak di Malaysia bukan disebabkan kekurangan bekalan bahan api semata-mata sebaliknya didorong lonjakan pelbagai kos termasuk insurans dan pengangkutan.
Beliau berkata, walaupun ada beberapa perkembangan yang sedikit meredakan tetapi situasi keseluruhan masih belum ada kepastian.
“Kalau soal laluan (Selat Hormuz), Alhamdulillah hubungan baik Malaysia dengan Iran membolehkan kapal Petronas melepasi dan dalam beberapa hari lagi akan sampai ke Pengerang (Johor), Insya-ALLAH.
“Tetapi ia tidak berakhir di situ. Kos minyak yang lama, yang diambil sebelum perang, tersangkut di Selat Hormuz dan sekarang beralih ke Pengerang, itu kosnya meningkat kerana kos insurans itu sudah melepasi 100 peratus, kos pengangkutan juga bertambah,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

