KEMENTERIAN Pertahanan memandang serius insiden menimpa Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi yang dilaporkan meninggal dunia, pagi tadi.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebarang bentuk keganasan, salah laku atau pelanggaran disiplin tidak mencerminkan nilai, integriti serta profesionalisme dijunjung oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat. Kes ini kini dalam proses perundangan dan akan ditentukan sepenuhnya oleh mahkamah mengikut lunas undang-undang.
“Kementerian akan memastikan keadilan ditegakkan sepenuhnya, serta mengarahkan ATM memperkukuh disiplin dan integriti pasukan melalui tindakan tegas, agar kejadian seumpama ini tidak berulang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Muhammad Amirul Raziq, 24, menghembuskan nafas terakhir pagi tadi, ketika menerima rawatan di sebuah hospital di Temerloh, Pahang.
Media melaporkan, beliau cedera parah dipercayai dipukul suspek berpangkat Koperal disyaki berpunca ketidakpuasan hati berhubung kerja pembersihan stor senjata pada 31 Mac.
Siasatan turut mendapati terdapat enam lagi mangsa berusia lingkungan 19 hingga 22 tahun berada bersama dalam kejadian itu.
Pada masa sama, Mohamed Khaled menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham, semoga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang amat sukar ini.
“Saya amat berdukacita menerima berita pemergian Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, anggota Tentera Darat Malaysia susulan insiden di Bentong, Pahang.
“Sama-sama kita doakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya lagi.
Dalam pada itu, kes pukul yang berlaku dalam Kem Tentera Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Bentong di Pahang diklasifikasikan semula sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar selepas anggota yang menjadi mangsa, Muhammad Amirul Raziq disahkan meninggal dunia.
“Proses siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan telah dilakukan dengan mengklasifikasi kertas siasatan Seksyen 325 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Permohonan untuk melakukan bedah siasat telah dilakukan serta pihak polis akan meneliti semula keterangan yang telah diambil sebelum ini dan jika perlu, sambungan rakaman percakapan saksi akan dilakukan,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

