Inspirasi surah al-Waqiah untuk krisis dunia kini

Dari Penulis

Profesor Madya Dr. Monika @ Munirah Abd Razzak
Pensyarah di Jabatan Al-Quran & Al-Hadith
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya

KETIKA dunia menyaksikan ketegangan yang semakin meruncing antara Iran, Amerika Syarikat (AS) dan Israel, ramai mula dihimpit rasa takut terhadap masa depan.

Berita tentang ancaman perang yang lebih besar, kenaikan harga barang, kegawatan ekonomi dan ketidakstabilan pasaran dunia menjadikan masyarakat gelisah.

Ada yang mula menyimpan emas, ada yang tergesa-gesa mengeluarkan wang dari bank, malah ada yang terikut-ikut dengan pelbagai nasihat pelaburan yang bercanggah.

Namun di sebalik segala kekacauan ini, al-Quran sebenarnya telah lama memberikan panduan tentang bagaimana manusia harus berdepan dengan ketidakpastian.

Antara surah yang paling relevan ialah al-Waqiah, surah yang mengingatkan bahawa dalam dunia yang penuh krisis, ketenangan bukan lahir daripada apa yang kita miliki, tetapi daripada keyakinan kepada Allah.

Surah al-Waqiah bermula dengan peringatan tentang ‘peristiwa yang pasti berlaku’, iaitu hari kiamat.

Allah menggambarkan bagaimana gunung-ganang akan hancur, bumi bergoncang dan seluruh manusia akan dihimpunkan.

Dalam keadaan dunia hari ini, gambaran itu sangat dekat dengan emosi manusia yang menyaksikan peperangan, kemusnahan dan kehilangan nyawa.

Namun tujuan surah ini bukan untuk menakut-nakutkan semata-mata, tetapi untuk mengajar bahawa satu-satunya perkara yang benar-benar pasti dalam hidup ialah pertemuan dengan Allah.

Peringatan buat manusia

Segala kuasa politik, senjata dan ekonomi hanyalah sementara.

Ibn Kathir menjelaskan bahawa surah al-Waqiah mengingatkan manusia supaya tidak terlalu bergantung kepada kekuatan dunia, kerana semuanya boleh berubah dalam sekelip mata.

Antara pelajaran terbesar daripada surah ini ialah manusia hanya mampu berusaha, tetapi tidak mampu mengawal hasil.

Allah berfirman: “Kamukah yang menumbuhkannya atau Kami yang menumbuhkannya?”

Surah ini berulang kali mengajak manusia melihat benih yang ditanam, air yang diminum dan api yang digunakan.

Seorang petani boleh menanam benih, menyiram dan menjaga tanah, tetapi dia tidak mampu memastikan benih itu tumbuh.

Begitu juga manusia hari ini. Kita boleh bekerja, berniaga, merancang kewangan dan menyimpan harta, tetapi kita tidak mampu menjamin bahawa ekonomi akan kekal stabil atau peperangan tidak akan menjejaskan kehidupan.

Dalam tafsir al-Qurtubi, ayat ini menolak sifat sombong manusia yang menyangka dirinya mampu mengawal segala-galanya.

Terlalu fokus kepada kekurangan

Krisis dunia hari ini sepatutnya mengajar bahawa manusia hanya ‘mengambil bahagian’, sedangkan Allah yang menentukan natijah.

Kebimbangan yang berlebihan juga sering lahir apabila manusia terlalu fokus kepada kekurangan.

Setiap hari masyarakat disajikan dengan berita tentang harga minyak naik, mata wang jatuh, pekerjaan terancam dan kemungkinan perang yang lebih besar.

Akibatnya, manusia melihat dunia hanya dari sudut ketakutan.

Sedangkan surah al-Waqiah berkali-kali bertanya: “Tidakkah kamu melihat?”

Lihatlah air yang masih Allah turunkan, makanan yang masih tersedia, udara yang masih kita hirup dan keluarga yang masih berada di sisi.

Ulama tafsir menjelaskan bahawa ayat-ayat ini mendidik manusia agar memandang nikmat sebelum memandang musibah.

Apabila seseorang terlalu menumpukan perhatian kepada apa yang tiada, dia akan tenggelam dalam keresahan.

Tetapi apabila dia mensyukuri apa yang masih ada, hatinya menjadi lebih tenang dan mampu berfikir dengan waras.

Al-Quran juga telah lebih awal mengingatkan bahawa ujian adalah sebahagian daripada kehidupan.

Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 155: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta benda, kehilangan jiwa, dan kekurangan hasil mahsul. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar”.

Ayat ini amat dekat dengan keadaan dunia hari ini. Ketakutan hadir melalui ancaman perang, harta berkurang akibat ekonomi yang lemah, nyawa terkorban dalam konflik dan hasil rezeki semakin terjejas.

Namun Allah tidak menutup ayat itu dengan ancaman, sebaliknya dengan berita gembira kepada orang yang sabar.

Sebab itu Nabi SAW mengajar umatnya supaya melihat ujian dengan mata iman.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah kelelahan, penyakit, kegelisahan, kesedihan, gangguan dan dukacita menimpa seorang Muslim, hatta duri yang menusuknya, melainkan Allah akan menghapuskan sebahagian dosa-dosanya”.

Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim ini mengingatkan bahawa kesusahan bukan tanda Allah meninggalkan hamba-Nya.

Sebaliknya, ia mungkin menjadi jalan pengampunan dan peningkatan darjat.

Sibuk cari jaminan kewangan

Ketika ramai hidup dalam tekanan akibat peperangan dan ekonomi, surah al-Waqiah mengajar bahawa kesabaran dan pergantungan kepada Allah lebih bernilai daripada ketakutan yang tidak berkesudahan.

Selain itu, surah al-Waqiah turut membahagikan manusia kepada tiga golongan: golongan yang paling dekat dengan Allah, golongan kanan dan golongan kiri.

Ukuran kemuliaan manusia bukanlah berapa banyak harta yang disimpan atau sejauh mana seseorang berjaya melindungi dirinya daripada krisis dunia.

Sebaliknya, yang menentukan kedudukan seseorang di sisi Allah ialah keutamaan hidupnya. Dalam suasana dunia hari ini, ramai terlalu sibuk mencari ‘jaminan’ kewangan sehingga lupa membina bekalan akhirat.

Mereka sanggup menghabiskan masa berjam-jam memikirkan pelaburan, tetapi sedikit sekali masa digunakan untuk solat, sedekah, membaca al-Quran dan membantu orang yang susah.

Surah al-Waqiah mengingatkan bahawa masa depan sebenar bukan hanya di dunia, tetapi di akhirat.

Namun Islam tidak pernah mengajar umatnya supaya berputus asa atau menyerah kalah. Walaupun dunia berada di ambang kehancuran, seorang Muslim tetap dituntut berbuat baik dan membina kehidupan.

Nabi SAW bersabda: “Jika berlaku kiamat sedangkan di tangan salah seorang daripada kamu ada benih tanaman, maka jika dia mampu menanamnya sebelum kiamat berlaku, hendaklah dia menanamnya”.

Hadis sahih riwayat Imam Ahmad ini sangat luar biasa. Ia mengajar bahawa walaupun dunia sedang menuju kehancuran, manusia tetap mesti menanam harapan, bekerja dan memberi manfaat.

Dalam konteks hari ini, masyarakat tidak seharusnya lumpuh kerana ketakutan terhadap perang dan ekonomi. Kita tetap perlu bekerja, mendidik anak-anak, membantu jiran, menjaga alam sekitar dan meneruskan kehidupan dengan penuh tawakal.

Usah jadikan rasa takut sebagai tuhan

Akhir surah al-Waqiah memberikan penawar paling besar kepada jiwa manusia.

Setelah Allah menunjukkan bahawa manusia tidak menguasai hujan, tumbuhan, rezeki dan kehidupan, surah ini ditutup dengan perintah: “Maka bertasbihlah dengan nama Tuhanmu Yang Maha Agung”.

Ertinya, apabila manusia gagal mencari kepastian dalam dunia, dia perlu kembali kepada Allah yang Maha Pasti.

Bukan bererti kita tidak boleh merancang atau mengurus kewangan, tetapi kita tidak boleh menjadikan rasa takut sebagai tuhan baru dalam hidup.

Ketika ramai terperangkap dengan pelbagai teori, ramalan dan kebimbangan, surah al-Waqiah mengajar bahawa ketenangan datang apabila hati bersandar kepada Allah.

Justeru, dalam menghadapi krisis dunia hari ini, surah al-Waqiah bukan sekadar surah yang dibaca untuk ‘murah rezeki’, tetapi panduan untuk membentuk jiwa yang teguh.

Ia mengajar bahawa manusia perlu berusaha tetapi tidak takbur, merancang tetapi tidak panik, menyimpan tetapi tidak tamak, dan berdepan dengan ujian tanpa kehilangan harapan.

Dunia mungkin terus bergolak, peperangan mungkin berpanjangan dan ekonomi mungkin berubah-ubah.

Namun seorang Muslim yang memahami surah al-Waqiah akan tetap berdiri dengan tenang, kerana dia tahu bahawa rezekinya berada di tangan Allah, dan masa depannya yang sebenar ialah di sisi-Nya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Syarahan Perdana Tokoh Maal Hijrah 1448H Beri Fokus Kepada Mesej Keamanan & Peradaban Kontemporari

PERISTIWA Maal Hijrah tidak seharusnya dibiarkan berlalu sekadar penceritaan lipatan sejarah dan sambutan tahunan semata-mata, sebaliknya ia perlu diangkat...

More Articles Like This