PRESIDEN Perancis, Emmanuel Macron mempelawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghadiri satu sidang khas bagi mencari keputusan bersama berhubung konflik yang melanda Asia Barat.
Mengulas mengenai sidang tersebut, Anwar berkata Malaysia mendukung penganjurannya namun tetap dengan pendirian bahawa dunia harus memberi perhatian kepada kezaliman yang telah berlaku ke atas Iran.
“Semalam saya diundang oleh Macron secara peribadi yang menganjurkan satu sidang untuk mendapat keputusan bersama beri jaminan laluan di Selat Hormuz dan ini didukung oleh Perdana Menteri England.
“Saya jawab kita tentunya mendukung tetapi kita berhak menyatakan pandangan kita bahawa sementara kita berikan jaminan sepatutnya laluan itu harus bebas tetapi kita perlu juga berikan perhatian bahawa kezaliman telah pun berlaku.
“Oleh itu pertimbangan, jaminan keselamatan dan perdagangan Iran juga harus diambil kira,” katanya ketika berucap merasmikan Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kapal Malaysia merupakan antara yang terawal diberi laluan di Selat Hormuz oleh kerajaan Iran.
“Tetapi bersyukur kerana kita berhubung awal dengan Presiden Iran, membolehkan kapal kita terlepas.
“Masih ada kapal kita yang tersekat atau rosak, tetapi kita harap dapat diselesaikan. Masalah ini dihadapi semua,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

