DALAM dunia serba pantas hari ini, penyebaran berita tidak kiralah mengenai apa sekali pun muncul pada setiap detik di skrin telefon.
Satu berita itu yang pada asalnya mungkin dilihat kecil, akan mula menjadi besar dan semakin panas apabila ia dikongsi serta diulas pelbagai pihak.
Malangnya, kebanyakan berita yang sering dikongsi di media sosial itu belum lagi ditentusahkan. Yang penting bagi si penyebar berita adalah ‘sebar dulu, baru semak’.
Lebih membimbangkan apabila berita-berita yang belum tentu sahih itu dijadikan peluru politik dan diterima bulat-bulat oleh sebahagian masyarakat.
Terbaharu, timbul laporan dari Filipina yang mendakwa kira-kira 329,000 tong atau 52.311 juta liter diesel dari Malaysia telah dihantar ke negara tersebut.
Angka itu bukan kecil. Ia cukup besar untuk mencetuskan kebimbangan, apatah lagi dalam keadaan negara sedang berdepan isu subsidi dan pengurusan bahan api.
Tidak mengambil masa lama, laporan itu segera dipetik oleh pelbagai pihak terutama segelintir pemimpin politik dan tentera siber.
Mereka mula mengaitkan berita itu dengan naratif kononnya Malaysia menjual bahan api ke luar negara dalam tempoh kritikal.
Modus operandinya mudah, kononnya hanya bertanya sahaja. Namun, taktik itu telah dapat dibaca.
Bukan persoalan itu yang penting, tetapi ‘benih’ yang cuba ditanam dalam kepala pembaca itu lebih utama.
Naratif itu yang dimahukan oleh sesetengah pihak lebih-lebih lagi jika tujuannya untuk menyemai rasa amarah rakyat.
Penafian telah pun dibuat oleh Petronas dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), yang seharusnya tampil dengan kenyataan lebih tegas.
Bagaimanapun, kedua-dua kenyataan itu telah menjelaskan bahawa laporan berita berkenaan tidak tepat dan tidak menggambarkan situasi sebenar.
MTEN menjelaskan bahawa diesel itu bukan berasal dari Malaysia.
Seperti biasa, penafian sering kalah dengan sensasi. Berita palsu lebih laju berbanding kebenaran.
Mengapa ini masih berlaku? Jawapannya adalah kita sendiri memudahkannya. Keghairahan menjadi orang pertama berkongsi sesuatu menyebabkan kita sering mengabaikan prinsip paling penting iaitu tabayyun – semak dahulu sebelum mempercayai dan menyebarkan.
Dalam realiti hari ini, tabayyun seolah-olah menjadi konsep yang hanya disebut dalam ceramah, bukan diamalkan dalam kehidupan digital.
Secara sinisnya, mungkin lebih mudah untuk percaya sesuatu yang selari dengan emosi atau kecenderungan politik kita.
Jika berita itu mengesahkan apa yang kita mahu percaya, kita tidak lagi bertanya sama ada ia benar atau tidak.
Yang penting, ia ‘kena’ dengan naratif.
Inilah bahaya sebenar berita palsu, bukan sekadar maklumat yang salah tetapi alat yang boleh memanipulasi persepsi masyarakat.
Dalam kes diesel ini, ia bukan sahaja menimbulkan salah faham, malah berpotensi mencetuskan ketidakpercayaan terhadap institusi negara.
Lebih membimbangkan apabila individu berpengaruh turut menyebarkannya tanpa semakan. Apabila pemimpin sendiri gagal mengamalkan tabayyun, bagaimana rakyat biasa mahu dibimbing?
Penyebaran berita palsu ini bukan kerana intipati maklumat itu yang terlalu meyakinkan, namun kerana kita sendiri terlalu malas untuk menyemak.
Selagi tabayyun tidak dijadikan budaya, selagi itu berita palsu terus bermaharajalela.
Sebab itu, kalau kita tak pasti, janganlah pula kongsi.
Afiq Mohd Shah ialah Penolong Pengarang Berita UtusanTV

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

