POLIS menahan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dan seorang wanita berusia 19 tahun masing-masing warga tempatan bagi membantu siasatan kes penemuan seorang bayi di kawasan tempat letak kereta sebuah surau di Taman Universiti, Skudai, Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, kedua-dua remaja tersebut ditahan di kawasan Taman Universiti, Skudai pada jam 2.15 pagi tadi.
Katanya, hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
Menurut Ramlan, ujian air kencing yang dijalankan ke atas mereka didapati negatif.
“Kedua-dua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan dan akan dibawa ke Mahkamah Johor Bahru hari ini untuk permohonan reman bagi tujuan siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu membuang atau menyembunyikan bayi dengan niat untuk meninggalkan bayi tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.
Radin Ramlan menambah, polis menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang, tidak terlibat dalam sebarang aktiviti jenayah serta mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

