KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperkasa pengalaman perjalanan rel antara bandar dengan memperluaskan akses perkhidmatan EMUPlus ke Klang selama tiga hari hingga esok.
KTMB dalam kenyataan memaklumkan, perluasan perkhidmatan EMUPlus itu membuka lembaran baharu buat pengguna di Lembah Klang untuk menikmati perjalanan terus ke Ipoh dengan lebih mudah, selesa dan praktikal.
Menurut KTMB, perkhidmatan tersebut ditawarkan dengan tambang bermula serendah RM45 sehala, dengan nilai perjalanan yang lebih berbaloi dan menjimatkan kepada penumpang berbanding perkhidmatan sedia ada dengan kos lebih tinggi.
Katanya, laluan itu merangkumi hentian di Klang, Shah Alam, Subang Jaya, KL Sentral dan seterusnya ke Ipoh.
KTMB memberitahu, ia sekali gus memberi lebih pilihan kepada penumpang untuk memulakan perjalanan dari lokasi yang lebih sesuai dengan keperluan masing-masing.
“Buat pertama kalinya, pengguna di Klang, Shah Alam dan Subang Jaya kini boleh memulakan perjalanan menggunakan EMUPlus lebih dekat dengan komuniti mereka tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada stesen utama seperti KL Sentral.
“Inisiatif ini bukan sahaja memudahkan perancangan perjalanan, malah menawarkan pengalaman yang lebih lancar, fleksibel dan menjimatkan masa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KTMB memberitahu, perkhidmatan EMUPlus juga dirancang untuk beroperasi pada setiap hujung minggu serta semasa musim cuti panjang termasuk musim perayaan tertakluk kepada keperluan dan perancangan operasi semasa.
Jelasnya, pengenalan akses baharu itu mencerminkan komitmen KTMB dalam mendekatkan perkhidmatan EMUPlus kepada rakyat di samping memperkukuh keterhubungan antara bandar serta memperkayakan pengalaman perjalanan rel secara menyeluruh.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Azlan Shah Al Bakri berkata, peluasan akses itu membawa pengalaman perkhidmatan tersebut lebih dekat kepada komuniti.
“Penumpang kini mempunyai fleksibiliti untuk memulakan perjalanan dari Klang, menjadikan keseluruhan pengalaman lebih mudah, lancar dan relevan dengan gaya hidup masa kini,” jelas beliau.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

