SOKONGAN penuh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) terhadap gagasan Rumah Bangsa menggambarkan iltizam dan kesungguhan UMNO untuk bangkit.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan keputusan mesyuarat MKT itu merupakan langkah signifikan terhadap gagasan Rumah Bangsa.
Menurut beliau, gagasan itu merupakan satu pendekatan inklusif yang membuka pintu seluas-luasnya kepada mereka yang ingin kembali memperkukuh perjuangan UMNO.
Wan Rosdy berkata, ia sekali gus merapatkan saf perjuangan dan mengembalikan keyakinan rakyat.
“Dengan semangat penyatuan ini, mesyuarat MKT telah meluluskan kemasukan semula beberapa tokoh utama termasuk Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Syed Hamid Albar bersama ribuan ahli lain di seluruh negara.
“Ia bukan sekadar keputusan organisasi tetapi menjadi manifestasi bahawa UMNO kekal relevan, semakin inklusif serta sentiasa bersedia untuk terus memimpin dan berkhidmat kepada rakyat.
“Insya-Allah, UMNO akan terus teguh dalam perjuangannya demi agama, bangsa dan negara,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Sejumlah 6,252 bekas pimpinan dan ahli UMNO di pelbagai peringkat diterima semula untuk menyertai parti itu di bawah inisiatif Rumah Bangsa.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataan media memaklumkan, langkah itu merupakan sebahagian sokongan terhadap gagasan Rumah Bangsa yang dicetuskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Gagasan tersebut bertujuan menerima kembali tanpa syarat mana-mana ahli yang pernah digantung, dipecat, atau keluar parti sebelum ini.
Selain kepulangan tokoh-tokoh veteran, MKT turut meluluskan pindaan Peraturan Keahlian UMNO selaras dengan Fasal 5.2 Perlembagaan parti.
Pindaan ini membolehkan pendaftaran ahli dilakukan secara dalam talian bagi menarik minat lebih ramai golongan muda menyertai perjuangan parti tersebut.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

