POLIS sedang memburu seorang lelaki yang disyaki telah melakukan kelucahan melampau terhadap remaja perempuan berhampiran pintu masuk sebuah universiti awam di Dungun, baru-baru ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintendan Jumaidy Bah Chong Weh memberitahu, pihaknya telah menerima satu laporan berkaitan kejadian itu kira-kira 12.30 tengah hari semalam.
Menurut Jumaidy, siasatan awal mendapati lelaki tidak dikenali itu yang menaiki sebuah motosikal telah melakukan kelucahan melampau terhadap mangsa.
Beliau berkata, suspek kemudiannya telah melarikan diri daripada lokasi kejadian.
“Pihak polis turut mengesan satu video tular yang dipercayai berkaitan kejadian sama.
“Usaha mengesan saksi serta individu terlibat sedang giat dijalankan termasuk mendapatkan keterangan saksi untuk membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Jumaidy berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan.
“Polis memandang serius kejadian ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang perlakuan tidak bermoral yang mengganggu keselamatan awam.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

