JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membantah penganjuran program Rain Rave Water Music Festival 2026 yang dijadualkan berlangsung bermula hari ini hingga Ahad.
Pengarah JAWI, Hanifuddin Roslan menegaskan, festival tersebut dilihat berpotensi membawa kepada kemudaratan akhlak dan keruntuhan nilai masyarakat.
Pada masa sama, kata beliau, JAWI turut menyatakan kekesalan terhadap penganjuran program tersebut dan berharap supaya penganjur dapat menilai semula konsep pelaksanaannya.
Hanifuddin berkata, penganjur juga diharap lebih cakna terhadap sensitivi masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya.
“Merujuk kepada Bayan Linnas Siri Ke-351 bertajuk ‘Rain Rave Water Music Festival 2026: Hiburan ada abtas, penganjur memikul tanggungjawab dan konsert berbentuk maksiat wajib dihentikan’ yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.
“Ia dengan jelas menyatakan bahawa Islam tidak menolak hiburan secara mutlak, namun hiburan tersebut hendaklah tertakluk kepada garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Hanifuddin berkata, JAWI akan meneruskan pelaksanaan program-program keagamaan di Wilayah Persekutuan melalui kuliah, ceramah, forum, tausiyah, kempen di media sosial dan khutbah Jumaat.
Katanya, ia berkaitan kepentingan umat Islam untuk sentiasa mematuhi perintah Allah SWT dan menjauhkan diri dari terlibat dalam program-program yang berunsur maksiat.
Sehubungan itu, beliau berkata, JAWI akan menganjurkan bacaan yassin dan solat hajat serentak di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan selepas solat maghrib hari ini.
“Bacaan yassin dan solat hajat itu bagi mendoakan kesejahteraan dan keharmonian hidup warga Wilayah Persekutuan secara khusus dan rakyat Malaysia secara amnya.
“JAWI juga memohon kerjasama semua pihak agar memastikan sebarang penganjuran program berbentuk hiburan tidak mempunyai unsur-unsur yang boleh menjejaskan kesucian agama dan akhlak masyarakat bagi mengelakkan berlakunya kemudaratan yang lebih besar,” jelasnya.
Rain Rave Water Music Festival yang dijadualkan berlangsung dari 30 April hingga 2 Mei itu bakal menghimpunkan artis tempatan dan antarabangsa.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

