SEORANG wanita didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini atas pertuduhan memuat naik dan menyebarkan kandungan bersifat palsu yang mengandungi nama serta logo ‘BuletinTV3’.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan, wanita tersebut telah memuat naik kandungan yang mendakwa kenaikan harga sangat berbeza dengan sumber rasmi menerusi platform media sosial Threads pada 31 Mac lalu.
Menurut MCMC, ia melibatkan harga bahan api petrol dan diesel yang berkuat kuasa pada 1 April 2026.
“Tertuduh, Siti Nor Sayikilla Mohd Azhar, 31, didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau Akta 588.
“Ia melibatkan perbuatan menggunakan perkhidmatan aplikasi iaitu akaun Threads secara sedar untuk membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, MCMC memaklumkan, tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta untuk dibicarakan.
Katanya, mahkamah telah menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dan tarikh sebutan semula kes pada 4 Mei depan.
Jika didapati bersalah, MCMC memaklumkan, hukuman yang akan dikenakan adalah berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 233(2) Akta 588 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
MCMC turut memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial dan media digital yang bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dengan penyebaran maklumat palsu.
“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada.
“Orang ramai diingatkan agar sentiasa bertanggungjawab dalam menggunakan platform media sosial dan media digital serta tidak menyalahgunakan kemudahan komunikasi bagi memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam,” jelasnya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

