NASIB sekurang-kurangnya 10 warga Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 masih belum diketahui selepas terputus hubungan pagi tadi.
Ia setelah kapal GSF 2.0 yang dinaiki rakyat Malaysia itu dilapor telah dipintas rejim zionis Israel di perairan Mediterranean.
Berdasarkan data pemantauan Sumud Nusantara Tracker oleh Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), sekurang-kurangnya 22 daripada 63 kapal yang belayar menuju perairan Gaza telah pun dipintas.
Tujuh kapal awal yang dikenal pasti dipintas dan diculik adalah Safsaf, Snap, Al-Faluja, Eros, Eros 1st, Romantica, dan Nagual.
Selain itu, beberapa lagi kapal lain termasuk Goleta, Bribon, La Pina, Bianca BCN, Tamtam dan Mystere turut telah dipintas.
Menurut laman web pemantauan tersebut, kapal Bianca BCN menempatkan empat warga Malaysia iaitu Hazwan Hazim Dermawan; Mohd Hanafi Mohd Salim; Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman dan Norhelmi Ab Ghani.
Sementara itu, kapal Al-Faluja pula menempatkan pempengaruh yang juga wartawan, Zainal Rashid Ahmad (ZRA).
Muhamad Muhsin Zaidi dilaporkan berada di atas kapal Marea, manakala Mohd Redzal Amzah pula dikenal pasti berada di kapal Freia.
Meskipun data pemintasan ini disahkan secara teknikal melalui sistem tracker, sehingga kini masih belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh mana-mana pihak berkuasa Malaysia.
SNCC dijangka mengadakan satu sidang media tergempar berhubung perkembangan terkini misi berkenaan hari ini.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

