TITAH Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah berhubung hak dan kepentingan negeri itu mencerminkan keprihatinan terhadap pembangunan Pahang serta kesejahteraan rakyat.
Sehubungan itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya akan meneliti segala perkara yang dibangkitkan dalam titah pada Perasmian Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15 itu.
Pada masa sama, beliau berkata, Kerajaan Negeri Pahang turut menyokong penuh titah Tengku Mahkota supaya isu eksport pasir sungai diteliti secara menyeluruh oleh Kerajaan Persekutuan.
Menurut Wan Rosdy, langkah itu bukan sahaja menambah hasil negeri, malah penting bagi pengurusan sungai dan pengurangan risiko banjir.
“Patik menjunjung kasih dan menyokong penuh titah Tengku Mahkota Pahang sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-15.
“Titah Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku mencerminkan keprihatinan terhadap pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan Negeri akan meneliti segala perkara yang dibangkitkan demi memastikan hak dan kepentingan negeri Pahang terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah terkilan terhadap beberapa keputusan kerajaan Pusat yang dianggap tidak berpihak kepada hak serta kepentingan negeri itu.
Baginda bertitah, kerajaan Pusat perlu lebih cakna terhadap hak negeri Pahang termasuk dalam soal hasil negeri, pelaksanaan projek dan pemeliharaan alam sekitar.
Selain itu, baginda turut menzahirkan kekecewaan terhadap keputusan kerajaan Pusat yang tidak meluluskan usaha negeri Pahang untuk menambah hasil negeri melalui eksport pasir sungai.
Baginda bertitah, Pahang memiliki sungai terpanjang di Semenanjung Malaysia yang menyebabkan terdapat mendapan pasir yang perlu dikeluarkan bagi memastikan kelancaran aliran sungai serta mengelakkan risiko banjir.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

