SEORANG penuntut kolej Muhammad Hazim Muhammad didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini atas pertuduhan membunuh Nurfisya Zulkifly di Ketereh, Kelantan pada 30 April lalu.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Namun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas kes diletakkan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Nurfisya, 19.
Muhammad Hazim didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.
Pendakwaan dikendali Pengarah Pendakwaan Negeri Kelantan, Wan Azimah Yaacob, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah dan Ahmad Naabil Mohamed Asri, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Alias Ibrahim.
Sebelum itu, Wan Azimah memohon satu tarikh pengurusan kes bagi mendapatkan beberapa laporan pakar.
Mahkamah menetapkan 2 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula dan pengurusan kes.

