AGENSI Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) sentiasa peka dan mengambil serius perkembangan semasa berkaitan penularan Hantavirus sebagaimana dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Menurutnya, sehingga 10 Mei, tiada kes dilaporkan melibatkan rakyat Malaysia, namun langkah berjaga-jaga terus diperkukuh sebagai usaha pencegahan awal di pintu-pintu masuk negara.
“Sehubungan itu, AKPS akan mempertingkatkan pengawasan serta kawalan sempadan termasuk pelaksanaan saringan kesihatan ke atas kapal dan vesel yang memasuki perairan negara, khususnya yang tiba dari kawasan berisiko tinggi,” katanya di Facebook, hari ini.
Jelasnya, pendekatan ini dilaksanakan bagi memastikan sebarang potensi ancaman kesihatan awam dapat dikesan dan ditangani secara lebih awal serta berkesan.
“AKPS akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi-agensi teras berkaitan dalam memastikan keselamatan, kesihatan awam dan kesejahteraan negara sentiasa terpelihara di setiap pintu masuk sempadan negara,” katanya.
Seorang wanita Perancis dan seorang lelaki warga Amerika Syarikat (AS) menjadi mangsa terbaharu Hantavirus selepas disahkan positif wabak tersebut.
Agensi berita Reuters melaporkan Menteri Kesihatan Perancis, Stephanie Rist berkata, penumpang dari negara itu yang menaiki kapal persiaran MV Hondius disahkan positif dan keadaan kesihatannya semakin merosot.
Dengan pengesahan dua kes baharu itu, ia menjadikan jumlah kes yang disahkan setakat ini adalah 10.
Sebelum ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan, lapan kes telah disahkan dan dua lagi diklasifikasikan sebagai kemungkinan kes.
Tiga individu telah meninggal dunia, dengan dua daripadanya disahkan positif Hantavirus dan satu lagi dikategorikan sebagai kemungkinan kes.
Pihak berkuasa kesihatan turut menyiasat beberapa lagi kes disyaki serta kontak rapat individu yang dijangkiti.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

