FENOMENA memburu perhatian tanpa batas dan ilmu hanya akan melahirkan masyarakat yang hilang rasa hormat terhadap institusi agama dan tokoh umat terutama berkaitan sahabat Rasulullah SAW.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Dr Hasan Bahrom menegaskan pihaknya memandang serius tindakan pihak yang sanggup mempergunakan nama sahabat Rasulullah sebagai bahan sensasi dan melunakkan kata-kata dalam meraih perhatian serta keuntungan peribadi.
Lebih membimbangkan, kata beliau, ungkapan itu juga disampaikan secara tidak beradab dengan mengaitkan amalan para sahabat yang tinggi nilai budi dengan sifat tidak bermoral.
Hasan menegaskan, sahabat Rasulullah merupakan generasi yang dipuji oleh Allah SWT dan menjadi contoh keteguhan iman, integriti serta pengorbanan dalam perjuangan Islam.
“Sebagai badan dakwah yang menjunjung nilai kebebasan berkarya dan bersuara, namun kebebasan itu tidak seharusnya digunakan untuk menghina dan mengeluarkan ungkapan yang boleh mengelirukan serta menghalalkan kandungan yang merosak dan menjatuhkan kredibiliti insan yang amat disayangi Rasulullah.
“Menjadikan mereka rujukan tidak bermoral sebelum keislaman demi menarik perhatian dalam madah bicara adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab, malah memberi contoh yang tidak baik kepada individu yang mengungkapkan, institusi yang dianggotai dan agama yang mereka pegang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Hasan berkata, YADIM turut mengingatkan bahawa pengaruh media sangat besar terutama kepada generasi muda.
Katanya, kandungan yang memperlekehkan tokoh agama dikhuatiri boleh menormalisasikan budaya penghinaan, mencairkan sensitiviti umat serta merosakkan nilai adab dalam masyarakat.
Beliau menjelaskan, semua pihak khususnya individu berpengaruh, pendakwah, pencipta kandungan dan pempengaruh media sosial perlu memainkan peranan dalam membina masyarakat berilmu serta beradab, bukannya mengaut perhatian melalui isu-isu yang kontroversi.
“Masyarakat adalah diseru agar lebih matang dan beretika dalam ucapan di khalayak umum dengan menolak budaya eksploitasi agama untuk kepentingan diri.
“YADIM percaya masyarakat Malaysia yang matang dan beradab tidak akan mudah terpedaya dengan kenyataan yang tidak bertanggungjawab.
“Kami sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak untuk mendidik masyarakat khususnya dalam ruang digital yang semakin berpengaruh ini,” katanya.
Terdahulu, tular petikan ucapan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh menceritakan perihal kehidupan Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali Abi Talib sebelum memeluk Islam.
Nik Muhammad Zawawi menggambarkan Abu Bakar sebagai ‘bapa ceti’ kerana gemar memberi pinjaman kepada orang ramai dan menekan golongan miskin, manakala Umar dikatakan berperwatakan ganas dan suka berzina.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

