ISU kebajikan dan kelangsungan hidup anak seni tempatan, terutamanya kelompok veteran yang uzur, terus menjadi agenda kritikal yang menuntut perhatian segera.
Menyedari beban berat itu, Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) kini melangkah setapak ke hadapan dengan memperkasakan portfolio bantuan mereka menerusi kerjasama strategik bersama sektor korporat.
Menerusi kolaborasi terbaharu, KARYAWAN berjaya memancing sokongan padu daripada syarikat tersenarai, NEXG Berhad, sekali gus membolehkan bantuan segera disalurkan kepada 10 penggiat seni tanah air yang kini sedang bertarung dengan masalah kesihatan kronik serta badai kesulitan kewangan yang menghimpit hidup mereka.
Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez, menjelaskan bahawa suntikan dana segar daripada pihak swasta menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ini merupakan satu talian hayat yang sangat melegakan bagi mengurangkan kebergantungan penuh persatuan terhadap peruntukan kerajaan.

Beliau memperincikan bahawa sehingga Jun tahun ini, KARYAWAN secara domestik telah pun mengagihkan dana sebanyak RM30,000 kepada ahli yang memerlukan. Dengan tambahan dana bernilai RM50,000 daripada pihak NEXG, jumlah keseluruhan dana kebajikan yang berjaya disalurkan melonjak kepada RM80,000.
“Jalinan kerjasama erat yang termeterai bersama syarikat korporat seperti NEXG Berhad ini membuka ruang serta peluang yang jauh lebih luas untuk kami mendekati dan membantu golongan artis yang benar-benar berada dalam fasa kritikal.
“Pada masa yang sama, langkah murni ini mencerminkan tahap keprihatinan yang sangat tinggi daripada sektor swasta terhadap nasib serta kebajikan penggiat seni tempatan,” katanya.
Walau bagaimanapun, Freddie memberikan amaran tegas bahawa KARYAWAN tidak akan sewenang-wenangnya meluluskan setiap permohonan tanpa usul periksa demi mengelakkan isu ketirisan dana atau eksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Setiap permohonan bantuan yang masuk ke meja persatuan wajib melalui proses penilaian dan saringan yang sangat ketat.

“Langkah proaktif ini amat penting bagi memastikan setiap ringgit daripada dana sumbangan ini hanya disalurkan kepada individu yang benar-benar layak dan menepati kriteria tegar, khususnya buat mereka yang kini langsung tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan tetap atau ahli keluarga terdekat untuk bergantung hidup,” tegasnya lagi.
Melonjakkan hala tuju persatuan ke fasa yang lebih dinamik, Freddie menegaskan impian dan visi KARYAWAN adalah jauh lebih besar daripada sekadar bertindak sebagai sebuah pusat agihan bantuan atau organisasi kebajikan semata-mata.
Sebaliknya, persatuan tersebut bertekad untuk meletakkan agenda memperjuangkan hak eksklusif artis dan pembangunan industri kreatif negara di tempat yang paling tinggi.
Ketika ini, industri seni sedang berdepan dengan pelbagai ancaman global, termasuklah kemelut isu royalti yang masih belum menemui jalan penyelesaian mutlak serta kehadiran gelombang teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang mula menjejaskan periuk nasi penggiat seni.
“KARYAWAN sama sekali tidak mahu dikenali atau dilabel sebagai sebuah badan kebajikan semata-mata.
“Sebaliknya, komitmen kami adalah untuk terus konsisten berjuang demi pembangunan industri kreatif negara secara menyeluruh.
“Selain memberi perhatian serius terhadap usaha melahirkan dan menggilap lebih ramai bakat muda, fokus utama kami ketika ini adalah mencari solusi konkrit terhadap cabaran semasa industri, terutamanya melibatkan isu royalti dan ancaman daripada perkembangan teknologi Kecerdasan Buatan (AI),” jelas Freddie penuh optimis.
Sebagai langkah tuntas, KARYAWAN dijadualkan bakal menganjurkan sebuah konvensyen khas berskala besar pada 21 Jun ini.
Perhimpunan eksklusif itu bertujuan untuk menghimpunkan barisan pakar, penggiat seni, peguam syariah, serta pelbagai pihak berkepentingan bagi memerah otak, membincangkan hala tuju, serta membina benteng pertahanan yang kukuh demi masa depan ekosistem industri seni tanah air.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

