Malaysia perkasa pekerja hadapi era AI, 1.49 juta berjaya ditempatkan dalam pekerjaan

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

MALAYSIA menegaskan kecerdasan buatan (AI) mesti berfungsi untuk membantu manusia, bukannya menggantikan mereka, ketika negara memperhebat pelbagai inisiatif latihan, perlindungan sosial dan pemadanan pekerjaan bagi menghadapi perubahan dunia pekerjaan yang semakin dipacu teknologi.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, kerajaan komited memastikan setiap pekerja dilengkapi kemahiran serta perlindungan sewajarnya untuk terus berdaya saing dalam ekonomi yang semakin dipengaruhi AI.

Menurut beliau, sehingga kini platform MYFutureJobs berjaya memadankan 1.49 juta penempatan pekerjaan sejak 2020 menerusi penggunaan teknologi AI yang menghubungkan 3.3 juta pencari kerja berdaftar dengan 13.4 juta kekosongan jawatan.

“Malaysia percaya AI perlu berkhidmat untuk manusia dan bukannya menggantikan mereka. Dengan tenaga buruh melebihi 17 juta orang, keutamaan kita adalah memastikan setiap pekerja bersedia untuk berkembang dalam ekonomi berteraskan AI,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada sesi pleno Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) ke-114 anjuran Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) di Geneva, Switzerland.

Ramanan berkata, Malaysia melihat AI bukan sekadar revolusi teknologi, sebaliknya titik perubahan sosial, ekonomi dan moral yang memerlukan pendekatan berteraskan nilai kemanusiaan.

Katanya, seiring kerangka Malaysia MADANI yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kemajuan teknologi perlu dipandu nilai keadilan, belas ihsan dan kesejahteraan sosial agar jurang ketidaksamaan tidak terus melebar.

Bagi memperkukuh kesiapsiagaan tenaga kerja, beliau berkata Malaysia telah menginstitusikan latihan AI dan teknologi digital secara menyeluruh menerusi Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST).

Dalam masa sama, kerajaan memperkenalkan potongan cukai latihan AI dan keselamatan siber menerusi ekosistem MyMahir-Majlis AI Kebangsaan bagi Industri bagi menggalakkan majikan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), meningkatkan kemahiran pekerja.

“Majikan yang melaksanakan latihan berkaitan AI dan keselamatan siber layak menerima tambahan potongan cukai sebanyak 50 peratus bagi perbelanjaan latihan yang memenuhi syarat,” katanya.

Selain itu, program Jelajah AI MyMahir akan diperluaskan ke seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran dan literasi AI dalam kalangan rakyat.

Ramanan turut memaklumkan Malaysia sedang memperkukuh aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan menerusi Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2026-2030 yang memberi tumpuan kepada risiko baharu akibat automasi, digitalisasi dan penggunaan AI.

Menurut beliau, Sistem Penilaian Risiko Digital yang dibangunkan kerajaan setakat ini telah dimanfaatkan hampir 270,000 pengguna di seluruh negara.

Dalam aspek keadilan industri pula, Mahkamah Perusahaan Malaysia kini menggunakan sistem rakaman digital dan teknologi sokongan AI bagi mempercepatkan proses pendengaran kes, manakala Mahkamah Buruh sedang melaksanakan sistem rakaman digital secara berperingkat yang dijangka meliputi semua mahkamah di Semenanjung menjelang 2030.

Beliau berkata, Malaysia juga terus memperkukuh jaringan perlindungan sosial bagi menghadapi perubahan dunia pekerjaan.

“Mulai 1 Jun lalu, hampir 10 juta pekerja sektor formal dilindungi di bawah skim perlindungan kecederaan 24 jam PERKESO yang pertama seumpamanya.

“Ini merupakan pembaharuan terbesar sejak 1969 yang membolehkan pekerja dilindungi bukan sahaja di tempat kerja, malah dalam kehidupan harian mereka,” katanya.

Ramanan menegaskan Malaysia akan terus memastikan pembangunan teknologi dan AI bergerak seiring dengan prinsip pekerjaan bermaruah, keadilan sosial serta perlindungan hak pekerja.

“Teknologi hanya boleh dianggap sebagai kemajuan sekiranya ia meningkatkan pekerjaan yang bermaruah dan memelihara maruah insan,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

UMNO berhak tentukan hala tuju sendiri menjelang pilihan raya – Asyraf Wajdi

UMNO menegaskan parti itu mempunyai hak mutlak untuk menentukan pendirian dan hala tuju politiknya sendiri menjelang mana-mana pilihan raya,...

More Articles Like This