Di sebalik kesibukan kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), tersembunyi satu kisah lama yang masih menjadi bisikan warga kampus sehingga hari ini.
Tidak jauh dari Kolej Dato’ Onn, terdapat dua buah telaga lama yang dikatakan mempunyai kaitan dengan dunia bunian.
Bagi sesetengah pelajar, ia mungkin sekadar tinggalan sejarah lama. Namun bagi mereka yang pernah mendengar cerita orang terdahulu, telaga itu bukan tempat biasa.
Menurut cerita turun-temurun disampaikan warga lama UKM dan penduduk sekitar Bangi, dua telaga tersebut dipercayai menjadi tempat mandi Puteri Bunian sejak sebelum kawasan itu dibangunkan sebagai universiti.
Malah dikatakan, sebelum ini, kawasan tersebut pernah menjadi penempatan Orang Asli dan dikelilingi hutan bukit yang tebal serta sunyi.
Dan di tengah kawasan itulah, wujud beberapa telaga lama.
“Dalam kawasan UKM sebenarnya ada tujuh telaga lama… tapi dua yang paling terkenal ialah telaga berhampiran Kolej Dato’ Onn,” dakwa seorang bekas warga kampus.


Kisah turun-temurun warga UKM
Menurut seorang bekas pelajar UKM, kisah mengenai telaga bunian itu bukan cerita baru yang tiba-tiba muncul di media sosial.
Sebaliknya, cerita tersebut dikatakan sudah lama berlegar dalam kalangan pelajar sejak dahulu lagi.
Dia mendakwa sering mendengar kisah itu daripada senior-senior lama, para pensyarah ketika mula menetap di kolej kediaman.
“Mereka pesan, jangan pergi kacau kawasan telaga itu waktu malam. Mereka kata tempat itu keras.
“Bukanlah hendak menakut-nakutkan, cuma hormatlah tempat itu,” ceritanya.
Malah menurutnya, senior mereka juga mendengar kisah sama daripada pelajar generasi sebelumnya sehingga cerita itu terus hidup dari satu generasi ke satu generasi warga kampus.
Disebabkan itulah, sehingga hari ini masih ada pelajar yang percaya kawasan tersebut mempunyai ‘penunggu’ dan tidak boleh diganggu sesuka hati.

‘Jangan tegur, jangan cabar…’
Cerita mengenai telaga itu semakin kuat apabila ada pensyarah dan orang lama kampus dikatakan pernah menasihatkan pelajar agar tidak mengganggu kawasan tersebut sesuka hati.
“Bukan kerana takut semata-mata…
Tetapi kerana menghormati ‘penjaga’ tempat itu.
“Ada yang bercerita terlihat kelibat wanita berpakaian putih berdiri berhampiran telaga itu sebelum hilang secara tiba-tiba.
“Lebih menyeramkan, beberapa pelajar dikatakan pernah mengalami gangguan selepas cuba bergurau, mengambil gambar secara melampau atau bercakap kasar berhampiran telaga tersebut.
“Kalau datang situ malam-malam, suasana dia lain macam… sunyi dia tak sama,” kata seorang alumni UKM.
Tidak pernah dihapuskan sejak zaman awal
Apa yang membuatkan kisah ini terus hidup ialah kewujudan telaga tersebut yang masih dikekalkan sehingga hari ini.
Walaupun kawasan UKM sudah melalui pelbagai pembangunan moden, telaga-telaga lama itu dikatakan tidak pernah dihapuskan sepenuhnya.
Sebaliknya, ia hanya diperkuat dan dipagarkan demi keselamatan.
Ada yang percaya tindakan itu dibuat kerana menghormati nilai sejarah kawasan tersebut.
Namun dalam kalangan mereka yang percaya kisah mistik.
Mereka menganggap telaga itu sengaja tidak diganggu kerana bimbang ‘sesuatu’ berlaku.
Antara mitos, sejarah dan kepercayaan
Benar atau tidak kisah Puteri Bunian mandi di telaga itu, tiada siapa mampu membuktikannya secara pasti.
Namun satu perkara yang pasti… Cerita tentang dua telaga misteri di UKM itu masih terus diperkatakan dari satu generasi pelajar ke satu generasi yang lain.
Sehingga hari ini, masih ada warga kampus yang memilih untuk tidak mendekati kawasan tersebut selepas maghrib.
Kerana bagi mereka, ada tempat yang lebih baik dihormati daripada dicabar.
Catatan: Kisah telaga Puteri Bunian ini adalah pendapat dan pengalaman peribadi, tidak melibatkan mana-mana pihak.

