KRISIS tenaga global yang semakin meruncing susulan ketidaktentuan geopolitik dunia memaksa negara ASEAN mempercepat integrasi tenaga serantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahaim berkata, hal itu kerana tiada negara mampu menangani peningkatan permintaan tenaga secara bersendirian.
Katanya, ketegangan geopolitik yang menjejaskan laluan bekalan tenaga global memberi kesan besar kepada rantaian bekalan serantau, sekali gus menjadi peringatan bahawa dunia kini semakin terdedah kepada risiko luaran.
Menurut beliau, pergantungan kepada bahan api fosil yang menjadi tunjang pembangunan sejak era perindustrian kini tidak lagi boleh dianggap sebagai sumber yang benar-benar selamat dan stabil.
“Kita berdepan realiti bahawa bahan api fosil bukan sahaja terhad, malah mungkin kurang selamat dan boleh dipercayai berbanding apa yang pernah kita andaikan sebelum ini.
“Pada masa sama, rantau ini dijangka menyaksikan peningkatan permintaan tenaga melebihi 60 peratus menjelang 2040 akibat urbanisasi dan perindustrian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Peralihan Tenaga anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB), hari ini.
Anwar berkata, ledakan kecerdasan buatan (AI) dijangka mempercepat peningkatan permintaan tenaga apabila pembangunan pusat data, infrastruktur pengkomputeran canggih serta ekonomi digital memerlukan penggunaan elektrik pada skala lebih besar.
Katanya, cabaran utama bukan lagi sekadar menghasilkan lebih banyak tenaga, sebaliknya memastikan bekalan kekal selamat, mampu milik dan mampan.
“AI sedang mengubah ekonomi, industri dan masyarakat dengan pantas, namun transformasi ini datang bersama implikasi tenaga yang besar.
“Perluasan pusat data, pengkomputeran awan dan infrastruktur AI mendorong permintaan elektrik yang belum pernah berlaku sebelum ini, sekali gus menimbulkan persoalan berkaitan daya tahan grid, kemampuan kos dan kelestarian jangka panjang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh usaha merealisasikan Grid Kuasa ASEAN kerana integrasi serantau kini bukan lagi pilihan, sebaliknya keperluan strategik.
Beliau berkata, perkembangan positif turut dicapai apabila pengoperasian Memorandum Persefahaman (MoU) Dipertingkatkan Grid Kuasa ASEAN sekali lagi diperakui sebagai keutamaan serantau.
Menurutnya, rantau ASEAN juga sudah membuktikan kemampuan integrasi tenaga rentas sempadan menerusi penghantaran hidroelektrik boleh diperbaharui dari Laos melalui Thailand dan Malaysia ke Singapura sejak 2022.
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata Malaysia kini muncul sebagai destinasi utama pelaburan infrastruktur digital global susulan kedudukan strategik serta persekitaran pelaburan yang kompetitif.
Katanya, kemasukan pelaburan pusat data khususnya di Johor dan Lembah Klang meningkatkan lagi keperluan memastikan proses peralihan tenaga negara berjalan lancar.
“Kita akan menunaikan janji kepada rakyat bahawa peralihan ini akan berlaku secara adil, tenaga kita kekal terjamin dan AI akan berkhidmat demi kepentingan negara,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

