KESEMUA rakyat Malaysia yang berdaftar di Kuwait disahkan berada dalam keadaan selamat susulan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait awal pagi kelmarin.
Kementerian Luar menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, setakat ini tiada laporan diterima mengenai rakyat Malaysia yang terjejas akibat insiden berkenaan.
Menurut kementerian, pihaknya menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Kuwait sedang memantau rapat perkembangan semasa susulan serangan yang turut menyebabkan lapangan terbang antarabangsa berkenaan ditutup sementara.
“Semua penerbangan komersial turut digantung sehingga dimaklumkan kelak, manakala penerbangan yang tiba kini dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd di Dammam, Arab Saudi.
“Warganegara Malaysia yang perancangan perjalanan mereka terjejas dinasihatkan menghubungi syarikat penerbangan masing-masing bagi mendapatkan pengaturan alternatif serta penjadualan semula penerbangan,” menurut kenyataan itu.
Kementerian turut menggesa rakyat Malaysia yang menetap atau berada di rantau berkenaan supaya mengekalkan tahap kewaspadaan tertinggi serta mematuhi segala arahan keselamatan, sekatan pergerakan dan arahan kecemasan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.
Pada masa sama, rakyat Malaysia yang masih belum mendaftarkan keberadaan mereka di negara itu diseru segera berbuat demikian menerusi portal e-Konsular bagi memudahkan urusan komunikasi dan bantuan kecemasan.
“Kementerian Luar akan terus memantau perkembangan situasi ini secara dekat dan akan menyalurkan maklumat terkini sekiranya perlu,” katanya.
Orang ramai yang memerlukan bantuan konsular segera atau menghadapi kecemasan boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Kuwait melalui talian yang disediakan.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

