PENGELUAR automotif Jepun, Honda, berdepan tekanan hebat dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) global apabila mencatat kerugian mencecah AS15.8 bilion susulan usaha agresif menyaingi pengeluar EV dari China.
Kerugian besar itu dikaitkan dengan perubahan drastik strategi EV syarikat berkenaan, termasuk pembatalan pembangunan model elektrik 0 Series serta projek kerjasama EV bersama Sony.
Situasi itu mencerminkan cabaran lebih luas dihadapi pengeluar automotif dari Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun dalam bersaing dengan kenderaan EV buatan China yang lebih murah, namun menawarkan reka bentuk, teknologi dan ciri setanding jenama antarabangsa.
Di pasaran China, jualan Honda merosot ketara daripada 1.62 juta unit pada 2020 kepada hanya 640,000 unit pada 2025. Jumlah pengeluaran tahunan syarikat itu di negara berkenaan dijangka jatuh di bawah 600,000 unit menjelang akhir 2026.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda, Toshihiro Mibe, dilaporkan mengakui cabaran tersebut selepas melawat sebuah kilang alat ganti automotif di China pada Februari lalu.
Menurut laporan Nikkei Asia, beliau menyifatkan keupayaan pengeluar China sebagai sukar ditandingi dan menggesa pembekal komponen Jepun supaya bertindak pantas bagi merapatkan jurang teknologi.
Pengeluar EV China kini mampu mengekalkan kos rendah dan mempercepatkan pengeluaran, termasuk memperkenalkan model baharu dalam tempoh kurang dua tahun – hampir dua kali ganda lebih pantas berbanding pengeluar tradisional.
Antara syarikat yang mencuri tumpuan ialah Xiaomi, yang menggunakan pendekatan pengeluaran bersepadu sepenuhnya termasuk teknologi “gigacasting” bagi menggantikan sehingga 72 komponen berasingan sekali gus mengurangkan masa pemasangan.
Selain itu, penggunaan sistem robotik menggantikan kaedah pemasangan konvensional membolehkan syarikat itu menghasilkan sehingga 1,000 kenderaan sehari.
Teknologi gigacasting turut mula diguna pakai pengeluar lain seperti Toyota dalam usaha meningkatkan kecekapan pengeluaran.
Ketua Pegawai Eksekutif Ford, Jim Farley, sebelum ini memberi amaran bahawa kapasiti pengeluaran China mampu memenuhi keseluruhan permintaan kenderaan di Amerika Utara sekali gus menjejaskan industri automotif global.
Dalam menghadapi cabaran itu, Honda mengambil langkah memperkukuh semula daya saing dengan menghidupkan kembali bahagian penyelidikan dan pembangunan (R&D) bebas serta memindahkan ribuan jurutera ke fasiliti yang mempunyai autonomi lebih besar.
Langkah itu dilihat sebagai usaha strategik Honda untuk mempercepat inovasi dalam pasaran EV yang semakin kompetitif, ketika pendekatan konvensional tidak lagi mencukupi untuk menyaingi kebangkitan pengeluar China.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

