MOTAC cadang bonggol jalan, perangkap laju di laluan Genting elak tragedi berulang

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mencadangkan pemasangan bonggol jalan serta sistem perangkap laju di laluan Genting Highlands sebagai langkah segera memperkukuh keselamatan jalan raya susulan kemalangan bas persiaran yang berlaku pada 30 Mei lalu.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, langkah pencegahan itu perlu dipertimbangkan secara serius bagi mengurangkan risiko kemalangan di laluan berisiko tinggi, khususnya di kawasan menurun yang sering digunakan kenderaan pelancongan.

Menurut beliau, cadangan berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat penyelarasan yang melibatkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), PUSPAKOM dan beberapa agensi berkaitan.

“Langkah keselamatan tidak boleh hanya diambil selepas kemalangan berlaku. Kita perlu bertindak dari sudut pencegahan dan meminimumkan risiko seawal mungkin,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, antara cadangan yang dikemukakan termasuk pemasangan lebih banyak bonggol jalan atau kemudahan penenang lalu lintas di lokasi kritikal bagi membantu mengawal kelajuan kenderaan.

Katanya, cadangan itu dibuat selepas mengambil kira maklum balas pengguna jalan raya yang menyuarakan kebimbangan terhadap tahap keselamatan di laluan keluar masuk utama Genting Highlands.

Tiong turut mendedahkan bahawa JPJ sebelum ini pernah mengesyorkan pemasangan sistem perangkap laju di laluan berkenaan, namun cadangan tersebut masih belum dilaksanakan kerana jalan itu berada di bawah pengurusan persendirian.

“Buat masa ini laluan tersebut hanya dilengkapi beberapa kamera litar tertutup (CCTV). Justeru, terdapat keperluan mendesak untuk menyegerakan penggunaan teknologi pemantauan yang lebih berkesan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan siasatan awal mendapati kemalangan bas persiaran itu berkemungkinan berpunca daripada kegagalan sistem brek, namun punca sebenar masih menunggu pengesahan pihak teknikal.

Menurutnya, hasil semakan juga mendapati pemandu bas terbabit mempunyai enam rekod kesalahan JPJ dan 29 rekod kesalahan trafik polis.

Kesalahan tersebut termasuk memandu melebihi had laju, tidak memiliki lesen vokasional (PSV) yang sah, memandu tanpa lesen, melanggar lampu isyarat serta menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Tiong berkata, penemuan itu menunjukkan keperluan untuk memperketat saringan latar belakang pemandu serta meningkatkan penguatkuasaan terhadap pengendali kenderaan pelancongan.

Beliau menegaskan keselamatan pengangkutan pelancongan bukan sahaja membabitkan nyawa penumpang, malah memberi kesan langsung kepada imej dan reputasi industri pelancongan negara.

Sehubungan itu, MOTAC akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak pengurusan Genting Highlands bagi meneliti pelaksanaan segera pelbagai langkah keselamatan termasuk kemudahan penenang lalu lintas, sistem pemantauan berteknologi tinggi dan inisiatif lain yang bersesuaian.

“Masyarakat tidak mahu melihat laporan di atas kertas semata-mata, sebaliknya mereka mahu melihat tindakan dan hasil yang nyata. Keselamatan pelancong mesti menjadi keutamaan bersama,” katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa MOTAC akan terus memantau perkembangan isu berkenaan dan bekerjasama rapat dengan semua agensi penguat kuasa bagi memastikan tahap keselamatan pengangkutan pelancongan negara terus dipertingkatkan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Anwar gesa kuasa pertengahan jadi jambatan dunia, bukan terperangkap persaingan kuasa besar

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa negara-negara kuasa pertengahan memainkan peranan lebih aktif sebagai jambatan persefahaman global ketika...

More Articles Like This