PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa negara-negara kuasa pertengahan memainkan peranan lebih aktif sebagai jambatan persefahaman global ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik, persaingan kuasa besar dan cabaran ekonomi yang semakin kompleks.
Menurut beliau, negara kuasa pertengahan mempunyai tanggungjawab penting untuk membina kesepakatan dan menggalakkan kerjasama antarabangsa ketika dunia semakin cenderung ke arah perpecahan.
“Walaupun tidak mempunyai pengaruh yang sama seperti kuasa-kuasa besar, negara kuasa pertengahan berupaya menjadi jambatan persefahaman, membina konsensus dan menggalakkan kerjasama dalam dunia yang semakin berpecah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Navigating Strategic Uncertainty pada Persidangan Antarabangsa Nikkei Future of Asia di Tokyo, Jepun hari ini.
Anwar berkata, dunia kini berdepan pelbagai cabaran termasuk konflik berpanjangan, persaingan kuasa besar yang semakin meruncing, rantaian bekalan global yang rapuh serta ketidaktentuan ekonomi yang semakin melebar.
Sehubungan itu, beliau menegaskan hubungan antarabangsa tidak boleh terus dilihat semata-mata melalui lensa persaingan kuasa dan kepentingan sempit.
Menurutnya, Asia membangun hasil daripada keterbukaan, perdagangan, pelaburan dan kerjasama yang membolehkan jutaan penduduk keluar daripada kemiskinan.
Bagaimanapun, beliau berkata cabaran masa kini bukanlah meninggalkan tatanan dan institusi antarabangsa yang sedia ada, sebaliknya memperbaharui serta memperkukuhnya agar kekal relevan dengan perubahan zaman.
“Institusi perlu direformasi dan diperkasakan, bukannya ditinggalkan. Dunia hari ini tidak kekurangan kuasa, tetapi kekurangan kefahaman bahawa kerjasama sentiasa lebih baik daripada perpecahan,” katanya.
Dalam ucapan sama, Anwar turut menyentuh perkembangan kecerdasan buatan (AI) yang disifatkan mampu membawa manfaat besar kepada manusia, namun memerlukan tadbir urus yang lebih inklusif.
Beliau menegaskan kemajuan teknologi tidak boleh hanya menguntungkan segelintir pihak atau melebarkan jurang pembangunan antara negara maju dan membangun.
Katanya, negara-negara membangun perlu diberikan ruang dan suara yang bermakna dalam menentukan kerangka tadbir urus teknologi yang bakal mempengaruhi kehidupan berbilion manusia pada masa hadapan.
Menyentuh peranan serantau, Anwar berkata ASEAN terus relevan sebagai platform yang mengutamakan keterangkuman, dialog dan kerjasama dalam suasana global yang semakin berpecah.
Menurut beliau, semangat itu turut menjadi asas hubungan erat Malaysia dan Jepun dalam memperkukuh kerjasama strategik melibatkan industri semikonduktor, peralihan tenaga, ekonomi digital dan AI.
Beliau berkata kerjasama berkenaan penting bagi membina rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan serta memastikan kemakmuran ekonomi dapat dikongsi secara lebih meluas.
Mengakhiri ucapannya, Anwar mengingatkan bahawa kepimpinan sejati bukan sekadar bertindak balas terhadap cabaran semasa, sebaliknya memerlukan keberanian untuk membentuk masa depan yang lebih stabil dan inklusif.
“Para pelayar zaman silam tidak mampu mengawal angin atau meramal setiap badai, tetapi mereka mempunyai arah tujuan yang jelas. Begitu juga dunia hari ini yang memerlukan hala tuju bersama dalam menghadapi ketidaktentuan global,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

