POLIS sedang memburu seorang lelaki bagi membantu siasatan kejadian merakam wanita di dalam tandas sebuah pusat beli-belah di Kuala Terengganu, Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata dalam kejadian pada jam 6.12 petang itu, seorang jurujual wanita berusia 29 tahun menyedari kewujudan sebuah telefon bimbit yang sedang merakam di celah pintu tandas tempat mangsa berada.
Mangsa yang kemudian keluar dari tandas mendapati seorang lelaki tidak dikenali memegang telefon bimbit berkenaan sebelum melarikan diri.
Siasatan awal mendapati suspek merupakan seorang lelaki awal 20-an, berambut perang, memakai baju-T putih dengan gambar Ultraman dengan tulisan ‘Aku Kuat, Aku Ultraman’, berseluar jeans gelap selain membawa beg silang.
Menurut beliau, mangsa turut sempat merakam visual suspek dari arah belakang ketika melarikan diri dari tenpat kejadian selain pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) mengesahkan pergerakan suspek.
“Pemeriksaan CCTV mengesahkan pergerakan suspek yang berlari keluar melalui pintu utama pusat beli-belah tersebut menuju ke arah Dataran Shahbandar.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 448/509 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan melakukan perbuatan yang memalukan atau menjatuhkan maruah,” katanya.

