KEROSAKAN seperti jalan berlubang akan ditampal dalam tempoh tidak melebihi 24 jam selepas ia dikenal pasti.
Kementerian Kerja Raya memaklumkan, pihaknya bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) sentiasa melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan jalan raya secara berterusan mengikut jadual pusingan kerja yang telah ditetapkan.
Menurut kementerian, melalui tindakan itu, sebarang bentuk halangan di atas jalan raya akan dialihkan dengan kadar segera.
“Bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 sejumlah 1,815 bilangan potholes yang telah dibaiki melalui tampalan secara kerja rutin di sepanjang Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia.
“Manakala di Sarawak, Sabah dan Labuan telah merekodkan sebanyak 12,687 bilangan tampalan potholes,” jelas KKR menerusi jawapan lisan di laman web Parlimen.
KKR menjawab pertanyaan Zahari Kechik (Bebas-Jeli) mengenai pemantauan dan pemeriksaan jalan raya di Malaysia untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta usaha terkini dalam meneliti kualiti jalan raya yang bermasalah seperti jalan berlubang, tidak rata dan tampalan tidak sempurna.
Mengulas lanjut, KKR memaklumkan, bagi memastikan keselesaan pengguna dan menangani isu jalan tidak rata serta kualiti tampalan yang tidak sempurna, pihak JKR akan sentiasa membuat semakan, pengauditan dan pemantauan yang ketat ke atas kerja-kerja penyenggaraan yang dilaksanakan oleh syarikat konsesi Jalan Persekutuan.
Jelas KKR, ia bagi memastikan kawalan kualiti kerja penampalan potholes adalah berdasarkan kepada spesifikasi yang ditetapkan iaitu Standard Specification for Roadworks (JKR/SPJ/2008).
Selain itu, KKR memberitahu, kementerian telah mengambil satu pendekatan yang lebih strategik dan komprehensif dengan melaksanakan program Pavement Condition Assessment (PCA) yang telah diluluskan pada 2025.
“Program PCA ini membolehkan tahap keadaan permukaan jalan bagi keseluruhan jaringan Jalan Persekutuan di seluruh Semenanjung Malaysia secara terperinci.
“Melalui data yang diperoleh, ia membantu pihak kementerian dalam merancang dan membangunkan program penyenggaraan yang lebih bersasar, kos efektif, serta bertepatan dengan keperluan kritikal di kawasan jalan raya yang bermasalah,” jelas KKR.
KKR menambah, data-data daripada analisis PCA ini telah mula digunakan dalam pelaksanaan kerja-kerja penyenggaraan berkala di Jalan Persekutuan Semenanjung pada tahun ini.
Menurut KKR, ini merupakan antara komitmen berterusan pihak Kementerian dalam usaha menambah baik kualiti infrastruktur jalan raya demi menjamin keselamatan rakyat.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

