Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain./ Gambar FB Tentera Darat

TENTERA Darat Malaysia (TDM) menetapkan enam fokus untuk dilaksanakan tahun ini bagi mencapai amanat dan aspirasi yang dizahirkan pemerintahan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.

Enam fokus itu adalah kesejahteraan dan kebajikan anggota; meningkatkan kesiagaan dan keupayaan; penstrukturan dan penyusunan organisasi; pemerkasaan tadbir urus; meningkatkan diplomasi pertahanan; dan membantu kerajaan dalam operasi ketenteraan selain perang. 

Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, untuk fokus pertama TDM akan meneruskan kerjasama erat dengan pihak berkaitan bagi meningkatkan jumlah Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) terutama di kawasan yang mempunyai kos sewa rumah yang tinggi.

Beliau berkata, tujuh projek perumahan RKAT baharu akan disiapkan tahun ini untuk manfaat 1,031 keluarga Tentera Darat.

“Projek perintis kerjaya kedua lain-lain pangkat tentera darat juga akan diteruskan untuk siri yang kedua pada tahun ini. Projek jiwa murni sama ada membaik pulih atau membina baharu rumah-rumah veteran akan diteruskan,” katanya ketika berucap sempena Amanat Panglima Tentera Darat ke-28 baru-baru ini.

Zamrose berkata fokus kedua melibatkan usaha meningkatkan kesiagaan dan keupayaan TDM mengambil kira misi utama pasukan berkenaan iaitu mempertahankan kedaulatan negara.

Menurutnya perolehan aset-aset perlu berpandukan kepada pelan pembangunan jangka masa panjang antaranya melibatkan perolehan lima kenderaan tank transporter 60 tan dengan kos berjumlah RM15 juta, empat trak tujuh tan bagi meningkatkan mobiliti darat dengan kos RM3.4 juta dan 98 bot gempur dengan kos RM7.84 juta.

Baca artikel berkaitan: IPSC: Kenal pasti atlet berpotensi, serap dalam pasukan menembak PDRM – KPN

“Perolehan peralatan persendirian dan head to toe akan ditingkatkan ke tahap 100 peratus bagi item laris seperti pakaian celoreng melibatkan kos RM24.6 juta untuk membolehkan setiap anggota bersiap sedia dan bermotivasi dalam melaksanakan operasi dan latihan dengan berkesan,” katanya.

Selain itu, fokus ketiga melibatkan penstrukturan dan penyusunan organisasi TDM bagi memperkasakan rantaian perintah serta menyeimbangkan kekuatan aset dan sumber manusia di antara wilayah mengikut nisbah dua pertiga dan satu pertiga seperti dalam Kertas Putih Pertahanan.

“Fokus keempat adalah pemerkasaan tadbir urus dan perbelanjaan berhemah iaitu perbelanjaan kewangan perlu dilaksanakan berpandukan strategi belanjawan yang berkesan manakala pengurusan aset kerajaan dilaksanakan berpandukan arahan, tatacara dan prosedur yang ditetapkan,” katanya.

“Pada tahun ini TDM juga memberi fokus untuk meningkatkan diplomasi pertahanan bagi mendukung kerjasama pertahanan dan akan terus menggunakan segala platform dan mekanisme yang ada bagi menjalin hubungan erat dengan negara berkepentingan,” katanya.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram