Adakah anda termasuk dalam 72 peratus wanita yang mengaku tidak pernah mencuci berus mekap? Jika ya, mungkin anda perlu memikirkannya semula selepas ini. Sama ada buang terus di dalam tong sampah atau rajinkan diri mencuci semula peralatan solekan.
Berus mekap menjadi sarang paling sempurna untuk bakteria membiak termasuklah bakteria berbahaya seperti E-Coli. Malah berus mekap yang tidak pernah dicuci juga bukan sahaja boleh memburukkan keadaan jerawat, malah berpotensi menyebarkan pelbagai jenis fungus dan infeksi bakteria.
Terdapat banyak cara dan kaedah untuk membersihkan berus mekap selain daripada menyental. Kaedah mencuci menggunakan spray sabun hinggalah menggunakan mesin khusus untuk mencuci berus, pilih kaedah yang sesuai dengan bajet.

Namun jika masih malas mencuci selepas tahu fakta ini? Nah ini risiko yang perlu ditanggung.
Liang pori tertutup
Bagus sekiranya anda tidak menyentuh wajah menggunakan jari terutamanya ketika bersolek. Namun awas, anda tetap berisiko mendapat jangkitan jika menggunakan peralatan mekap yang kotor dan menyebabkan liang pori tertutup.
Kulit cepat tua dan berkedut
Berus mekap yang kotor mendedahkan kulit kepada penuaan akibat radikal bebas yang mana ia menyebabkan penyusutan kolagen dan keanjalan kulit. AKibatnya wajah anda kelihatan lebih tua daripada usia sebenar.
Iritasi kulit
Apabila semua bakteria berkumpul, ia mampu meninggalkan bintik-bintik halus pada kulit dan menyebabkan kulit menjadi rengsa.
Membazir wang
Berus mekap mampu bertahan lama jika dijaga dengan baik. Jadi jangan bazirkan wang dan rajin-rajinkanlah mencuci dan menjaga peralatan mekap dengan baik.
Jangkitan bakteria berbahaya
Selepas penggunaan harian, berus mekap berupaya mengumpul sel-sel kulit mati, kekotoran, minyak, pencemaran dan bakteria termasuklah bakteria berbahaya seperti staphylococcus, streptococcus, E-Coli, fungus dan pelbagai jenis virus. Malah terdapat kes dimana seorang wanita menjadi lumpuh dibahagian tangan dan kaki selepas berkongsi berus mekap dengan kawannya.
Foto : Instagram Sephora