Hari ini (1 Januari 2021), pada penghulu segala hari, UtusanTV mula bersiaran. UtusanTV melangkah pada hari bermulanya kita melangkah ke tahun 2021. Tahun 2021 yang masih samar-samar. Jalan yang berkabut. Tidak jelas.
Ketidaktentuan itu, justeru bukan alasan. Tahun ini, kita jadikan sebagai tahun pemulihan. Tahun kebangkitan. Kita, tidak kira di mana pun kedudukan, bulatkan tekad untuk kembali gemilang.
Kita tidak boleh berlengah-lengah, apatah lagi berlama-lama untuk bangkit semula.
Benar, pandemik ini telah menggoncang bahkan meranapkan sebahagian kehidupan kita. Selepas setahun, kita harus boleh hidup bersama dengan virus pembunuh ini. Tahun 2020 kita lawan, tahun ini kita tawan Covid-19.
Inilah juga matlamat UtusanTV – mengembalikan kegemilangan. UtusanTV sendiri lahir daripada tradisi, susah payah dan semangat perjuangan Utusan Melayu.
Sudah tentu untuk kembali gemilang, semua kekuatan anak bangsa harus diganding. Inilah platform yang ditawarkan UtusanTV untuk mengurangkan jurang perbezaan dan mengukuhkan persamaan. Meraikan perbezaan dan mensyukuri keragamaan dalam konteks Malaysia yang induknya Melayu Islam.
Gabungan enam nama besar majalah di bawah Utusan Melayu dahulu –
Mastika (1941),
Wanita (1969),
URTV (1970),
Al islam (1974),
Saji (1995) dan
Hijab (2013).- dengan berita semasa dan bisnes menjadikan UtusanTV sebuah entiti media yang bakal tampil berbeza.
Kehadiran UtusanTV bakal menambah warna-warni industri media negara. Selain itu, sudah tentu tegas memainkan peranan menyebarkan kebenaran secara saksama dan bertanggungjawab berdasarkan ketetapan Perlembagaan.
Berpejabat di Kompleks Campbell, Kuala Lumpur yang menempatkan kemudahan beli-belah, hotel, dewan dan ruang pameran, UtusanTV juga akan terlibat dalam pembikinan kandungan digital dan pengacaraan.
Semoga di hari Jumaat yang mulia pada permulaan tahun 2021 ini, langkah UtusanTV akan diberkati. Sama-sama kita jadikan 2021, tahun mengembalikan kegemilangan.