HSR: Batal ada pampasan, nak diterus tak berdaya maju

Dari Penulis

KUALA LUMPUR – Terma perjanjian projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang ditandatangani pada tahun 2016, tidak lagi berdaya maju untuk diteruskan Malaysia berikutan penularan pandemik COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata ia secara tidak langsung memberi kesan teruk kepada ekonomi, sekali gus menjejaskan kedudukan fiskal negara.

Mustapa Mohamed

Katanya, Malaysia akan menghormati terma Perjanjian Dua Hala yang mana kedua-dua negara akan mengmbil tindakan perlu untuk menentukan jumlah pampasan.

“Bermula akhir tahun 2018, kerajaan meneliti beberapa alternatif bertujuan menurunkan kos keseluruhan projek ini. Penelitian semula ini menjadi keutamaan kerajaan, sejak pandemik COVID-19 ini berlaku.

“Lanjutan daripada itu, bermula pertengahan tahun lalu, kerajaan mengemukakan beberapa cadangan perubahan bagi mengurangkan kos keseluruhan projek ini.

“Cadangan terbabit termasuk perubahan kepada struktur projek, jajaran dan reka bentuk stesen. Struktur projek asal memerlukan jumlah Jaminan Kerajaan yang besar dan untuk tempoh yang panjang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mustapa berkata, cadangan struktur projek baharu itu akan memberikan kerajaan fleksibiliti dalam memilih opsyen pembiayaan projek termasuklah melalui kaedah pembayaran tertangguh, usaha sama awam dan swasta serta kemungkinan mendapatkan akses kepada pembiayaan pada kadar yang munasabah.

Jelasnya, apa yang lebih penting adalah cadangan perubahan struktur projek itu dijangka dapat mempercepatkan pemulihan ekonomi Malaysia yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Berdasarkan cadangan baharu yang dikemukakan, projek ini akan dimulakan pembinaannya dua tahun lebih awal berbanding perancangan asal. Ini akan memberikan rangsangan yang amat diperlukan oleh sektor pembinaan dan juga industri lain yang berkait rapat dengan sektor ini.

“Mengambil kira perubahan ini, kedua-dua negara mengadakan perbincangan sepanjang beberapa bulan yang lalu bagi memperjelaskan pendirian masing-masing,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, tiada persetujuan dicapai mengenai perubahan yang dicadangkan dan dengan itu Perjanjian Dua Hala berkenaan projek HSR luput pada 31 Disember 2020.

“Seterusnya, kerajaan akan melaksanakan kajian terperinci yang akan meliputi kesemua opsyen termasuk daya maju projek kereta api laju domestik serta manfaatnya kepada rakyat.

“Hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura amat rapat. Kita akan terus memperkukuhkan hubungan ini termasuk mempertingkatkan kesalinghubungan antara kedua negara, demi faedah bersama,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

200 penerima STR dapat ganjaran Kempen BSN SSP, BSN GIRO-i 2025

SERAMAI 200 pelanggan Bank Simpanan Nasional (BSN), terdiri daripada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), memenangi pelbagai hadiah menarik dan...

More Articles Like This