Muktamad, projek kereta api laju Malaysia-Singapura batal

Dari Penulis

PUTRAJAYA – Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura telah ditamatkan memandangkan kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan yang dicadangkan oleh Malaysia susulan perjanjian projek itu berakhir semalam, 31 Disember.

Dalam kenyataan media bersama oleh Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong, mereka memaklumkan kerajaan Malaysia telah mencadangkan beberapa perubahan kepada projek HSR kerana kesan pandemik COVID-19 terhadap ekonomi Malaysia.

“Kedua-dua kerajaan telah mengadakan beberapa perbincangan berhubung perubahan ini dan belum dapat mencapai persetujuan. Oleh itu Perjanjian HSR telah luput pada 31 Disember 2020,” menurut kenyataan itu.

Pemimpin itu berkata kedua-dua negara akan mematuhi kewajipan masing-masing dan kini meneruskan tindakan yang perlu, hasil daripada penamatan Perjanjian HSR tersebut.

“Kedua-dua negara kekal komited untuk mengekalkan hubungan dua hala yang baik dan bekerjasama rapat dalam pelbagai bidang termasuk mengukuhkan hubungan kedua-dua negara,” kata mereka.

Jajaran asal projek HSR yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura

Pada 31 Mei tahun lalu, kedua-dua kerajaan bersetuju untuk menangguhkan pembangunan projek dua hala bernilai RM110 bilion sehingga 31 Disember 2020.

Ia merupakan kali kali kedua projek HSR sepanjang 350 kilometer itu ditangguhkan selepas pertama kali ditangguhkan pada September 2018.

Pada 13 Disember 2016, Malaysia dan Singapura memeterai perjanjian dua hala penting untuk membuka jalan bagi pelaksanaan projek HSR yang dijadualkan siap pada 2026 dan akan memendekkan masa perjalanan antara kedua-dua bandar kepada 90 minit.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

200 penerima STR dapat ganjaran Kempen BSN SSP, BSN GIRO-i 2025

SERAMAI 200 pelanggan Bank Simpanan Nasional (BSN), terdiri daripada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), memenangi pelbagai hadiah menarik dan...

More Articles Like This