Tak ditelan dek zaman, paparan iklan English Pyrex dalam majalah Wanita 50 tahun lalu cukup sentimental. Susunan kata-kata ringkas dan mudah difahami, malah penggunaan gambar masih releven andai dijadikan bahan promosi pada hari ini.

Pasti ada yang kepingin untuk memilikinya kan? Seperti Che Fazilah binte Ibrahim dan Che Aminah binte Hamid yang cukup berasa bangga memiliki sebuah English Pyrex yang pertama.

“Ada banyak chorak2 yang chantek dan ada berjenis2 bentok untok di-pileh, mengumpulkan satu set sangat menyukakan.”

Jika dilihat kepada corak yang tertera pada pinggan mangkuk Pyrex edisi 1970 ini, tiada banyak perbezaan dan tidak keterlaluan dikatakan kondisinya masih kekal utuh sehingga ke hari ini. Bak kata orang, jatuh ke lantai pun tidak pecah.

Wanita cuba meninjau kepada laman membeli belah dalam talian, harga sebuah pinggan vintage ini mencecah lebih RM300 ke atas. Itu baru satu, bayangkan jika ibu atau nenek meninggalkan warisan set lengkap English Pyrex 1970, fuhhh…tidak perlu lagi berharap pada kemasukan duit i-Sinar pada pertengahan Januari nanti. Silap-silap boleh buat modal perniagaan.

Bila difikirkan kembali, bukan emas sahaja boleh disimpan dan digadai waktu terdesak, pinggan mangkuk pun berguna juga. Cuma waktu berkelahi dengan suami, jangan pula dibaling ke dinding, hancur berkecai harapan untuk melabur.

Iklan ini dikeluarkan dalam majalah Wanita edisi Januari 1970 yang pada ketika itu dijual dengan harga RM0.70 sahaja. Sekejap sahaja masa berlalu dan selepas 50 tahun, jenama Wanita masih kekal bergemerlapan walau ada tikanya badai datang melanda.

Biarpun tidak lagi diterbitkan dalam bentuk majalah selepas Kumpulan Utusan mengambil keputusan menutup operasi majalah pada November 2018 , namun Wanita masih meneruskan legasi mengikut peredaran masa dan zaman. Selamat datang Wanita era baru. Wanita 2021.

Foto : Majalah Wanita