Selamat datang 2021. Pastinya banyak perancangan telah disusun atur untuk sepanjang tahun ini. Sudah tentu juga ramai yang menanam azam untuk mencapai sesuatu kejayaan. Mungkin ada yang berazam untuk kurus, ada yang berazam untuk cemerlang dalam kerjaya, dalam kehidupan, dan berbagai lagi. Yang jelas, semua azam tersebut adalah untuk memperoleh sesuatu yang lebih baik.

Sehebat dan sebaik manapun perancangan yang disusun, eloklah kiranya disertakan sekali dengan niat kerana Allah s.w.t. bagi memperoleh keizinan dan keredaan Nya. Ingat! Tanpa keizinan dari Allah s.w.t. walau bagaimana hebat sekalipun perancangan tersebut disusun, ia belum tentu berjaya dicapai. Sekalipun tercapai, barakah dan pahala dalam perbuatan yang dilakukan itu pasti tiada.

Dalam konteks Islam, ibadah tidak dilihat hanya seperti puasa, solat, atau membaca al-Quran sahaja. Tetapi ia dilihat dari sudut pandang yang lebih luas. Apa pun perbuatan baik yang dilakukan akan dianggap sebagai ibadah. Dan setiap ibadah yang dilakukan pastinya akan memperoleh ganjaran pahala dari Allah. Namun ia perlulah disertakan dengan niat semata-mata kerana Allah s.w.t. kerana itu yang akan membezakannya antara ibadah, amalan dan adat.

Buatlah apa pun waima bekerja, makan, tidur, mandi atau sebagainya, dan tetapkan di dalam hati “aku lakukan kerana Allah Taala”. Sudah pasti perbuatan itu akan beroleh ganjaran pahala dan barakah yang besar kerana mengharap keredaan Allah s.w.t. semata-mata. Akan tetapi jika dilakukan tanpa niat kerana Allah, perbuatan tersebut dianggap hanya sia-sia sahaja.

Dalam sebuah kisah sebagaimana yang diucapkan oleh Imam al-Tabarani di dalam kitabnya al-Mu’jam al-Kabir dengan rantaian perawi yang boleh dipercayai daripada Ibnu Mas’ud r.a. bahawa beliau berkata,

“Terdapat di kalangan kami seorang lelaki yang meminang seorang perempuan yang dikenali dengan nama Ummu Qais. Perempuan tersebut enggan mengahwininya kecuali apabila lelaki tersebut berhijrah ke Madinah. Dia pun berhijrah dan mengahwininya. Maka kami menggelarnya “Penghijrah Ummu Qais.”

Dari kisah ini maka timbullah hadis berkenaan setiap perbuatan bergantung kepada niat. Daripada Amirul Mukminin Abi Hafs, Umar bin al-Khattab r.a. katanya aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut apa yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasulnya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasulnya. Dan sesiapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya”  HR Bukhari & Muslim.

Oleh itu, bersempena dengan tahun baru 2021 yang telah membuka tirainya ini, buatlah perancangan sebaiknya dan mulakanlah setiap perbuatan sehari-hari dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah. Insya Allah dengan niat kepada Allah s.w.t. pasti perancangan yang disusun dan perbuatan baik yang dilakukan beroleh kejayaan, ganjaran pahala serta keredaan Allah s.w.t.  Wallahu a’lam